fbpx

Program pembangunan sosioekonomi bersasar bantu komuniti India B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramanan Ramakrishnan bercakap pada sidang akhbar mengenai pengumuman program-program inisiatif MITRA 2023 di Kompleks D, Putrajaya, hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

PUTRAJAYA – Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan melaksanakan program pembangunan sosioekonomi bersasar melibatkan 72 kawasan Parlimen yang mempunyai kepadatan masyarakat India yang tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) MITRA, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, program yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat itu akan memperuntukkan sebanyak RM100,000 kepada setiap pusat khidmat rakyat.

“Daerah Petaling, Selangor merupakan antara kawasan yang mempunyai kepadatan masyarakat India tertinggi iaitu seramai 189,378 orang diikuti Johor Bahru, Johor seramai 126,803 orang dan daerah Kinta, Perak seramai 104,831 orang.

“Dana yang diperuntukkan itu bertujuan untuk pembangunan modal insan, keusahawanan dan kerjaya atau pembangunan sosial dan kebajikan, kerohanian dan kesejahteraan yang akan memanfaatkan penduduk tempatan dengan kos pelaksanaan program keseluruhan sebanyak RM7.2 juta,” katanya pada sidang akhbar pengumuman Inisiatif MITRA Siri Ke-2, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ramanan berkata, MITRA turut menjalin kerjasama dengan syarikat operator helikopter terbesar di rantau Asia Tenggara, Weststar Aviation Services bagi melatih seramai 100 belia India dari golongan B40.

Menurutnya, mereka yang terpilih akan dilatih selama 21 bulan untuk menjadi juruteknik dengan pensijilan dan lesen daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan diberikan penempatan kerja selepas tamat latihan.

Katanya lagi, antara inisiatif lain yang bakal diperkenalkan adalah jalinan kerjasama dengan Google For Education Malaysia.

“Ia merupakan program bantuan komputer riba untuk makmal komputer di 527 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara membabitkan sebanyak 6,000 ‘refurbished laptop’ dengan anggaran kos sebanyak RM3 juta.

“Komputer riba berkenaan akan dipasang dengan Google Chrome OS Flex yang membolehkan riwayat peranti itu bertahan selama lapan hingga 10 tahun lagi. Program tersebut bertujuan memberi akses dan peluang yang lebih terbuka kepada murid-murid dalam bidang ICT,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI