fbpx

Menara KL: Pengarah syarikat fail notis bantahan awal atas alasan pertuduhan cacat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Hamid (kiri) bersama peguamnya ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh SHIDIQIN ZON/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pengarah Hydroshoppe Sdn. Bhd., Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, memfailkan notis bantahan awal atas pertuduhan menawarkan rasuah berhubung pengambilalihan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Notis itu difailkan oleh Tetuan Chetan Jethwani dan Company mewakili, Abdul Hamid Shaikh, 49, semalam (31 Mei).

Berdasarkan notis tersebut, pihak pembelaan mendapati pertuduhan terhadap anak guamnya adalah cacat selain tidak berasas kerana salah satu elemen penting bagi kesalahan di bawah Seksyen 16 (b)(B) Akta SPRM 2009 tidak dinyatakan.

Selain itu, pertuduhan tersebut gagal mematuhi peruntukan seksyen-seksyen 152,153 dan 154 Kanun Prosedur Jenayah kerana salah satu butiran penting dalam pertuduhan iaitu tarikh spesifik bagi kesalahan tidak dinyatakan di dalam pertuduhan.

Terdahulu semasa prosiding sebutan semula kes hari ini, peguam bela Abdul Hamid Shaikh, Amer Hamzah Arshad, mengesahkan telah menerima sebahagian dokumen kes daripada pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, kemudian memaklumkan sebahagian lagi dokumen berkenaan akan diserahkan kepada pembelaan pada sebutan kes akan datang selain turut mengesahkan penerimaan notis bantahan awal itu menerusi e-mel.

Justeru Hakim Suzana Hussin, kemudian menetapkan 18 Julai ini untuk keputusan bantahan awal berkenaan.

Sementara itu ketika sebutan kes di hadapan Hakim Rozina Ayob, pendakwaan memohon kedua-dua kes itu dibicarakan secara bersama di hadapan hakim Suzana.

Bagaimanapun, Amer Hamzah membantah permohonan itu sebelum meminta ia difailkan secara rasmi dengan afidavit sokongan.

Rozina kemudian menetapkan 5 Julai ini untuk pendengaran permohonan perbicaraan bersama itu.

“Berkaitan pendengaran bersama, afidavit sokongan perlu difailkan dalam masa 10 hari, pada atau sebelum 12 Jun, manakala jawapan afidavit pada atau sebelum 22 Jun,” kata Rozina.

Pada 5 April lalu, Abdul Hamid Shaikh dan Hydroshoppe Sdn. Bhd. masing-masing didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan atas pertuduhan menawar rasuah itu.

Mengikut pertuduhan, Abdul Hamid Shaikh selaku pengarah syarikat berkenaan, didakwa menawarkan RM500,000 setahun selama tempoh 15 tahun, kepada seorang ahli perniagaan berusia 60 tahun.

Ia didakwa bagi faedah Tan Sri Annuar Musa sebagai dorongan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (ketika itu) mempercepatkan proses pengambil alihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL oleh Hydroshoppe.

Kesalahan didakwa dilakukan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, jika ia dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, syarikat itu pula didakwa bersekutu dengan Abdul Hamid Shaikh, menawarkan suapan, jumlah sama bagi tempoh sama kepada individu serupa untuk faedah Annuar selaku menteri, dengan niat memperoleh perniagaan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur, di lokasi dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum bawah seksyen 17A(2) akta sama, membawa hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika ia idapat dinilai atau RM1 juta mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Seksyen itu turut memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua mahkamah kemudian membenarkan syarikat dan tertuduh itu diikat jamin masing-masing sebanyak RM50,000 selain syarat tambahanpasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM di sini, setiap dua bulan.

Pada 7 Januari lalu, media melaporkan dua pengarah kanan syarikat bergelar Datuk direman bagi membantu siasatan kes pembelian saham dan isu pengambilalihan pengurusan Menara KL.

SPRM dilaporkan memulakan siasatan berhubung isu penjualan saham dan pengambilalihan konsesi penyelenggaraan Menara KL daripada syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., milik penuh Telekom Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI