fbpx

Lelaki OKU dikhuatiri jadi mangsa ‘love scam’ wanita Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chua (kiri) dan Michael menunjukkan bukti-bukti yang dikesan berkait wanita Kemboja yang dikenali di Facebook.

KUALA LUMPUR- Seorang lelaki tempatan orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu, dikhuatiri menjadi mangsa sindiket di Kemboja.

Mangsa, Joshua Chua Beng Hoe, 43, kali terakhir dilihat pada 26 Mei lalu dan kehilangan disedari pihak keluarga setelah menerima panggilan daripada syarikat tempat mangsa bekerja keesokan harinya.

Bapanya, Chua, 80, berkata, keluarga tidak menyedari kehilangan mangsa malah menyangka anaknya berjalan-jalan di bandar kerana itu menjadi kebiasaan apabila cuti kerja.

“Majikan bertanyakan kepada kami kenapa dia tidak masuk bekerja. Kami kemudiannya buat laporan di Balai Polis Kajang pada Ahad kerana rasa ada sesuatu yang tidak kena.

“Rakan sekerjanya ada menerima satu gambar mangsa dari nombor yang tidak dikenali di WhatsApp, yang mana menyatakan Joshua telah tiba lapangan terbang Kemboja.

“Keluarga juga ada menerima mesej mengenai perkara berkenaan namun, tiada rekod penerbangan diperoleh setelah diperiksa di beberapa agensi penerbangan,” jelasnya dalam sidang akhbar di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Menurut maklumat Kementerian Luar Negeri, mangsa memperbaharui pasport pada hari sama dan bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (KLIA2) pada pukul 10.28 pagi Sabtu.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Persatuan Cina Malaysia (MCA), Datuk Seri Michael Chong berkata, mangsa OKU pekak dan bisu itu didapati berbual dengan seorang wanita Kemboja yang dikenali melalui Facebook sejak tahun 2022.

Jelas Michael, mangsa juga pernah membuat pemindahan wang berjumlah RM2,999 ke akaun wanita terbabit bermula Julai 2022 hingga Mac tahun ini.

“Selain risau dengan keselamatan mangsa, kita juga bimbang dengan tahap kesihatan fizikalnya yang mempunyai masalah buah pinggang, kolestrol serta darah tinggi.

“Pihak kami akan tampil membuat laporan polis seterusnya bekerjasama dengan pihak berkuasa di Kemboja bagi mengesan mangsa yang gagal dihubungi sejak berlepas ke Kemboja,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan sebanyak 162 kes kehilangan individu diterima pihaknya setakat ini.

“100 kes kehilangan masih lagi tiada maklumat lanjut manakala 62 kes sudah selesai. Untuk tahun ini, kami menerima lima kes kehilangan membabitkan empat lelaki dan seorang wanita,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI