fbpx

Kes kematian akibat asma boleh dielakkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asma mempunyai tahap-tahapnya iaitu ringan, sederhana dan teruk. – GAMBAR HIASAN

DI Malaysia, asma atau lelah merupakan salah satu penyakit pernafasan dan ia meningkat secara konsisten setiap tahun.

Beberapa tahun kebelakangan ini, dianggarkan kebarangkalian pesakit asma di Malaysia telah meningkat daripada 6.4 peratus kepada 9.4 peratus dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 hingga 7 tahun.

Ia juga meningkat daripada 9 peratus kepada 13 peratus dalam kalangan kanak-kanak berumur 13 hingga 14 tahun.

Melihat kepada peningkatan bilangan pesakit asma di Malaysia dan kepentingan mendidik masyarakat mengenai pengurusan asma, Asthma Malaysia dan AstraZeneca, sekali lagi bekerjasama menganjurkan kempen awam Breathe Better bersempena Sambutan Hari Asma Sedunia baru-baru ini.

Bertemakan ‘Kawal Asma Anda’, kempen ini menyasarkan mendidik pengunjung mengenai kepentingan penggunaan ubat terkawal dalam mengurus dan merawat gejala asma dalam jangka masa panjang dan bukan sekadar bergantung kepada ubat pelega.

Perunding Perubatan Pernafasan dan juga Pengasas Bersama Asthma Malaysia, Dr. Helmy Haja Mydin berkata, amat penting untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran orang awam bagaimana untuk menguruskan asma.

Menurutnya, mendapatkan diagnosis awal adalah penting bagi mengelak serangan yang boleh melumpuhkan dan meletihkan.

“Langkah awal dan kawalan yang betul dengan ubat yang sesuai bukan sahaja dapat menghalang penyakit yang teruk, tetapi mampu meningkatkan kualiti hidup seseorang.

“Kempen ini juga bertindak sebagai peluang bagi warga profesional dan individu yang menghidap asma untuk turut sama berkongsi pengalaman dan pandangan dengan tujuan menambah baik penjagaan dan pengurusan asma di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, statistik menunjukkan di Malaysia, jumlah kematian akibat komplikasi asma setiap tahun adalah sekitar empat angka dengan kira-kira 1,700 kes dilaporkan pada 2014.

Pesakit asma yang teruk memerlukan perhatian khas kerana mereka lebih mudah terdedah serangan asma berulang. – GAMBAR HIASAN

Angka ini mungkin dianggap kecil jika dibandingkan dengan punca kematian yang lain, tetapi menurut pakar, kebanyakan kes kematian disebabkan asma boleh dielakkan sekiranya rawatan awal dan teratur diberikan.

Dengan penilaian klinikal yang bersesuaian, asma boleh dikategorikan sebagai ringan, sederhana dan teruk berdasarkan keparahan atau ketenatan serta pesakit memerlukan jenis dan dos ubat berbeza bagi mengawal keadaan mereka.

Dr. Helmy menerangkan, asma yang teruk biasanya memerlukan rawatan dan pengurusan perubatan sepanjang hayat.

“Ia sukar untuk dirawat dan tempoh pemulihan daripada serangan asma yang teruk adalah berbeza berdasarkan situasi individu.

“Amat penting bahawa mendidik orang awam tentang pengetahuan mengenai asma merupakan satu usaha berterusan tanpa henti,” jelasnya.

Secara hakikatnya, kesedaran orang awam terhadap perbezaan ketiga-tiga kategori asma ini masih rendah.

Perlu diingatkan bahawa setiap peringkat memerlukan kaedah rawatan yang berbeza dalam pengurusan asma.

Dr. Helmy menjelaskan, pesakit asma yang teruk memerlukan perhatian khas kerana mereka lebih mudah terdedah kepada serangan asma yang berulang walaupun mereka mahir dalam menggunakan penyedut (inhaler) dengan betul.

“Ini disebabkan beberapa faktor penyumbang kepada serangan yang teruk, seperti tahap kiraan darah putih yang sangat tinggi.

“Pesakit ini bukan sahaja mengalami gangguan tidur setiap hari tetapi aktiviti harian mereka juga boleh menjadi terbatas,” terangnya.

Tambah Dr. Helmy, terdapat kebarangkalian tinggi bahawa mereka boleh menjadi terlalu bergantung kepada ubat-ubatan yang memberikan kelegaan segera seperti penyedut dan steroid oral setiap hari untuk jangka panjang, namun ia sebenarnya tidak digalakkan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI