fbpx

‘Anak lebih berjaya pilih aliran Sains daripada Sastera’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IBU bapa berpendapat anak-anak mereka lebih berjaya dalam sektor pekerjaan jika memilih belajar aliran Sains. – GAMBAR HIASAN

KUALA TERENGGANU – Rata-rata ibu bapa berpendapat anak-anak mereka akan lebih berjaya jika memilih untuk belajar dalam aliran Sains Tulen.

Seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Rahimah, 42, mengakui membuat keputusan untuk anak lelakinya di tingkatan empat memilih aliran Sains Tulen.

Penjawat awam itu berkata, walaupun sedar anak sulungnya itu lebih berminat kepada aliran Sastera kerana kecenderungan terhadap muzik tetapi dia percaya pilihan itu terbaik demi masa depan remaja tersebut.

“Bukan memaksa tetapi memandu hala tuju demi masa depan dia (anaknya). Saya percaya pemilihan aliran Sains Tulen dapat membuka jalan lebih luas untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan yang kompetitif di universiti kelak dan mendapat pekerjaan,” katanya kepada ­Kos­mo! semalam.

Di Shah Alam, seorang bapa, Ahmad Muslim Abdullah Zainal, 38, berkata, itu adalah sebab dia memaksa anak sulungnya, Ahmad Roslan Ahmad Muslim, 16, mengambil aliran tersebut.

“Saya ada terbaca di akhbar yang mana negara ini memerlukan ramai belia bekerja dalam aliran Sains seperti doktor, jururawat, akauntan dan lain-lain lagi.

“Jadi, saya nampak anak berpeluang untuk dapat kerja sekiranya memasuki aliran ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Seorang lagi ibu, Zawiyah Mohd. Misron, 40, berkata, dia dan suaminya turut menyuruh anak sulungnya, Nor Elina Abu Kassim, 16, menyambung pelajaran mereka di dalam aliran Sains.

“Apabila saya dan suami menerangkan kepadanya sebab kami minta dia memasuki aliran itu, dia memahami hasrat kami.

“Saya dan suami bersedia berbelanja untuk memasukkan anak ke kelas tuisyen sekiranya dia memerlukan lebih bimbingan dalam mana-mana subjek yang dia kurang mahir,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI