fbpx

Warga emas maut tercampak, motosikal dirempuh lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal mangsa selepas dirempuh sebuah lori di Kilometer 8, Gua Musang-Kuala Krai dekat Batu 5, Gua Musang semalam.

GUA MUSANG – Seorang lelaki warga emas maut selepas bahagian belakang motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah lori di Kilometer 8, Gua Musang-Kuala Krai dekat Batu 5 di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, mangsa, Ishak Musa, 73, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapat, mangsa menunggang motosikal jenis SM Sport 110E dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Katanya, mangsa dipercayai berhenti di sebelah tepi kiri jalan sebelum bergerak masuk secara perlahan-lahan ke laluan utama.

“Keadaan itu menyebabkan, dua kenderaan berada di depan lori jenis Isuzu sempat mengelak daripada melanggar mangsa.

“Bagaimanapun, pemandu lori berkenaan gagal mengelak mangsa sebelum merempuh belakang motosikal ditunggang warga emas itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Choon Foo memberitahu, insiden itu mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, warga emas itu dihantar ke Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat manakala pemandu lori yang berusia 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI