fbpx
Dari kanan: Alisya, Khairi dan Nadzrin merupakan sebahagian daripada artis muda yang terlibat dalam pameran Lembaran.

Himpun 47 artis seni, pameran Lembaran platform pelukis muda jual karya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENYERTAI atau mengadakan pameran merupakan salah satu perkara yang diimpikan oleh kebanyakan artis seni.

Melalui pameran, artis seni terutamanya yang masih muda dapat memperkenalkan hasil karya mereka kepada pencinta seni dan masyarakat umum.

Alisya Fahmi Md. Sarowi merupakan antara artis seni yang mendapat peluang itu apabila dijemput untuk menyertai pameran seni berkumpulan, Lembaran di Galeri Artas di Petaling Jaya, Selangor.

Menurut wanita berusia 25 tahun itu, pameran tersebut diadakan sempena meraikan sambutan ulang tahun ketiga Galeri Artas.

“Saya amat teruja apabila diberi peluang untuk menyertai pameran seni ini.

“Hal ini kerana ia memberi peluang kepada saya mengetengahkan hasil karya.

“Sebelum ini, saya pernah mengadakan pameran solo pertama di galeri ini pada 2021.

“Selepas itu, saya sering diundang apabila pameran secara berkumpulan diadakan,” katanya kepada K2.

Dalam pada itu, Alisya menjelaskan, pihak galeri memberi kebebasan kepada artis seni untuk berkarya dalam pameran tersebut.

LEBIH 50 hasil karya artis seni tempatan dipamerkan pada pameran Lembaran yang berlangsung di Galeri Artas, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Dalam karyanya kali ini, dia mempertaruhkan karya bertajuk Pulang Senja.

Alisya yang mendapatkan pendidikan dalam bidang seni dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor berkata, karyanya itu cuba menyampaikan kisah tentang waktu pulang.

“Saya memilih waktu senja yang mula gelap dan berwarna oren bagi menggambarkan matahari mula terbenam.

“Ia merupakan satu metafora untuk menunjukkan waktu pulang ke rumah.

“Dalam karya ini juga, saya sertakan sampan sebagai metafora kepada mereka yang bekerja dan mencari rezeki di luar bandar.

“Saya dibesarkan di Kuala Nerang, Kedah.

“Tempat dalam karya ini adalah berdekatan Tasik Pedu yang terletak tidak jauh dari rumah saya,” jelasnya.

Sementara itu, medium yang digunakan untuk menghasilkan karya tersebut adalah cat minyak di atas kanvas.

Untuk makluman, Alisya mengambil masa hampir tiga minggu untuk menyiapkan karya tersebut.

“Cabaran utama yang saya hadapi untuk menghasilkan karya ini adalah cat lambat kering.

“Jadi, saya perlu tunggu lama untuk pastikan betul-betul mendapat warna yang dimahukan, sebelum meneruskan langkah seterusnya.

“Itu yang menyebabkan karya ini mengambil masa agak lama untuk disiapkan.

“Ini merupakan antara kelemahan menggunakan cat minyak,” terangnya.

NADZRIN selesa menghasilkan karya berkonsep abstrak.

Dalam pada itu, Alisya menjelaskan, pameran tersebut menjadi platform kepadanya untuk menjual hasil karya.

Ketika pameran solonya di galeri sama sebelum ini, Alisya telah mempamerkan 20 hasil karya dan kesemuanya telah terjual.

“Saya masih baharu dalam bidang ini. Pada pameran solo sebelum ini, hasil karya saya yang termahal dapat dijual adalah bernilai RM4,800.

“Malah, lukisan dalam pameran kali ini juga telah ada pembelinya.

“Ia dijual pada harga RM5,400,” ujarnya.

Untuk makluman, pameran seni Lembaran di Galeri Artas disertai seramai 47 artis seni dengan menampilkan lebih 50 karya.

Karya seni yang dipertaruhkan di pameran itu bukan hanya dalam bentuk lukisan semata-mata, malah ada melibatkan arca.

Sementara itu, Khairi Fakhri merupakan salah seorang artis seni yang terlibat dalam pameran berkumpulan tersebut.

Pemuda berusia 28 tahun itu juga pernah mengadakan pameran solo di galeri berkenaan pada tahun lalu.

Pada pameran solonya sebelum ini, kesemua 14 karyanya telah terjual.

“Untuk hasil karya saya pada pameran kali ini, ia juga telah terjual.

“Galeri ini mempunyai rangkaian sangat luas dan banyak hasil karya artis-artis muda yang berjaya dijual,” katanya.

Dalam pada itu, Khairi berkata, pameran berkumpulan tersebut bukan hanya disertai oleh artis muda, malah ramai artis berpengalaman turut menyertainya.

“Pada pendapat saya, pameran dalam kumpulan ramai mampu memberikan lebih variasi kepada hasil-hasil yang dipamerkan.

“Setiap artis seni mempunyai gaya dan pembawakan berbeza dalam menghasilkan karya.

“Ini secara tidak langsung memberi ruang kepada artis lain untuk menimba ilmu baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Khairi berkata, pada pameran kali ini, dia menampilkan karya bertajuk Dragon Fish.

Ketika melakukan pameran solo sebelum ini, dia dapat melihat cara penerimaan pemerhati, pengumpul dan pihak galeri.

Dari situ, dia dapat menjangkakan kemahuan dan kehendak golongan tersebut terhadap setiap karya yang dipamerkan.

“Karya saya kali ini adalah berdasarkan pemerhatian terhadap habitat ikan kelisa.

“Dari sudut biologi, ikan ini mempunyai sisik yang merupakan simbol kestabilan untuk masyarakat Cina. Sisik ikan ini ada keunikan atau corak tersendiri.

“Jadi, saya sebagai artis melihat ia sebagai salah satu elemen yang perlu ditonjolkan dalam karya ini,” jelasnya.

Tambahnya, dia sering berkunjung ke pusat penternakan kelisa untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang spesies ikan tersebut.

Ujarnya, ia merupakan salah satu cara untuk mendapatkan ilham menghasilkan karya berkenaan.

Sementara itu, Nadzrin Haziq, 28, turut dijemput menyertai pameran berkumpulan pada kali ini.

Menariknya, Nadzrin pernah menyertai dua pameran bagi meraikan sambutan ulang tahun galeri tersebut sebelum ini.

“Pada kedua-dua pameran sambutan ulang tahun Galeri Artas sebelum ini, semua karya saya telah terjual.

“Pada pameran ulang tahun pertama, karya saya terjual pada harga RM3,000. Pada ulang tahun kedua pula, saya telah menghantar dua karya dan kedua-duanya terjual pada harga RM4,000,” terangnya.

Tambahnya, bagi hasil karya pada pameran kali ini, dia masih belum mendapat sebarang berita daripada pihak galeri sama ada sudah terjual atau tidak.

Pada pameran kali ini, Nadzrin mempertaruhkan karya berkonsepkan abstrak alam semula jadi.

“Sempena pameran ini, saya menghasilkan karya yang dinamakan sebagai Blue Forest.

“Dalam karya ini, saya selitkan elemen-elemen alam semula jadi, tetapi dalam bentuk abstrak,” katanya.

Tambahnya, dalam karya berkenaan, dia cuba menyampaikan teguran lembut kepada masyarakat mengenai pentingnya menjaga alam semula jadi.

Berbicara mengenai dirinya, Nadzrin memaklumkan, dia gemar menghasilkan karya berkonsepkan abstrak.

Jelasnya, dia tertarik dengan konsep tersebut kerana karya berkenaan boleh dihasilkan menerusi ilham di dalam fikirannya sendiri.

“Pada pandangan saya, jika mengilhamkan imej tertentu dalam karya, ini bermakna saya melukis semula objek atau pemandangan itu.

“Bagaimanapun, jika menggunakan konsep abstrak, saya boleh menggunakan gaya sendiri tanpa perlu merujuk kepada gambar atau objek tertentu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN