fbpx

[VIDEO] Erdogan tewaskan pencabar, minta rakyat Turkiye bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERDOGAN dan isteri, Ermine Erdogan melambai kepada penyokong di luar kediaman mereka di daerah Kisikli, Istanbul kelmarin. -- AFP

ANKARA – Presiden Recep Tayyip Erdogan meminta supaya rakyat Turkiye bersatu selepas beliau memenangi pusingan ke­dua pilihan raya bersejarah yang melanjutkan pemerintahan dua dekadnya sehingga tahun 2028.

Pemimpin berusia 69 tahun itu berjaya mengatasi krisis ekonomi terburuk dalam tempoh satu generasi dan pakatan pembangkang paling kuat yang menentang parti berteraskan Islam pimpinan beliau. Pilihan raya Presiden kali ini juga adalah yang paling sukar buat Erdogan.

Di jalan raya, kereta-kereta membunyikan hon tanda ke­gembiraan, manakala ucapan tahniah membanjiri dari seluruh dunia.

“Kita perlu bersama-sama dalam penyatuan dan solidariti,” kata Erdogan kepada lautan penyokong yang berhimpun di luar istana presiden di Ankara.

Keputusan hampir penuh menunjukkan Erdogan menewaskan pencabarnya, Kemal Kilicdaroglu dengan kelebihan undi hanya empat peratus.

“Saya harap untuk terus be­kerjasama sebagai sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik U­tara (NATO) tentang isu dua hala dan berkongsi cabaran-cabaran global,” kata Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dalam mesej tahniah menerusi Twitter.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberitahu melalui seorang jurucakapnya bahawa beliau berharap untuk mengukuhkan kerjasama antara Turkiye dan PBB.

Di Russia, Presiden Vladimir Putin berkata, keputusan pilihan raya berkenaan adalah bukti sokongan rakyat kepada ‘usaha Erdogan untuk mengukuhkan kedaulatan negara dan mengejar dasar luar yang bebas’.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata, beliau mahu terus bekerja bersama Erdogan demi keselamatan dan kestabilan Eropah.

Selain mereka, barisan pe­mimpin Eropah dan dunia Arab menghantar ucapan tahniah termasuk bekas Presiden AS, Donald Trump.

Di Dataran Taksim di Istanbul, trafik tidak bergerak, manakala di serata Turkiye, orang ramai berhimpun sambil menyanyi dan mengibarkan bendera negara.

“Rakyat memilih pemimpin yang tepat. Saya menjangkakan Erdogan akan menambah perkara baik yang beliau telah lakukan untuk negara ini,” kata remaja perempuan berumur 17 tahun, Nisa Sivaslioglu di Ankara.

Erdogan yang merupakan pemimpin Turkey paling lama berkhidmat, berdepan pilihan raya paling sengit dalam tempoh 100 tahun pemerintahan pasca empayar Uthmaniyah.

Kilicdaroglu menentang Erdogan dalam pusingan pertama pilihan raya Presiden Turkiye pada 14 Mei lalu dan mengecilkan jurang undi dalam pusingan kedua. Penyokong pembangkang menganggap pilihan raya kali ini adalah peluang ‘hidup mati’ untuk menyelamatkan Turkiye dari­pada menjadi negara

autokrasi oleh Erdogan yang dikatakan memperoleh kuasa menyamai kuasa sultan semasa empayar Uthmaniyah.

Dalam ucapan ringkas kekalahannya, Kilicdaroglu menyuarakan kesedihan berhubung kesusahan yang bakal menanti Turkiye di bawah pimpinan Erdogan.

Presiden Turkiye itu disanjung oleh penduduk miskin di kawasan pedalaman kerana beliau menggalakkan kebebasan agama dan memodenkan bandar-bandar uzur di rantau Anatolia.

Bagaimanapun, beliau mencetuskan kebimbangan Barat ke­rana bertindak keras terhadap penentang dan melaksanakan dasar luar lebih berani.

Erdogan melancarkan pencerobohan tentera ke Syria yang mencetuskan kemarahan Eropah. Beliau meletakkan tentera Turkiye menentang tentera Kurdis yang disokong oleh AS.

Hubungan peribadi antara Erdogan dan Putin juga tidak terjejas di sebalik perang Kremlin ke atas Ukraine.

Ekonomi bermasalah Turkiye mendapat manfaat daripada penangguhan bayaran import tenaga Russia yang membantu perbelanjaan Erdogan untuk menunaikan janji kempennya pada tahun lalu.

Pemimpin Turkiye itu turut melewatkan keanggotaan Finland ke dalam NATO dan masih enggan membenarkan Sweden menyertai blok pertahanan diketuai AS tersebut. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI