MEMBAWA jenama muzik Dolla, kelincahan dan pesona wanita bernama Sabronzo atau nama lengkapnya, Wan Sabrina Wan Rusli kian mudah membuatkan peminat jadi penasaran.
Bukan hanya sebagai seorang pelantun vokal, penari dan pelakon, Sabronzo juga semakin mesra diberi jolokan ikon fesyen dalam kalangan peminat.
Menyedari gelaran figura popular hadir bersama tanggungjawab berjisim berat, wanita yang sering dikaitkan dengan negeri Kelantan itu berlapang dada dengan teguran khalayak.
Jelas Sabronzo, dia lahir di Kuala Lumpur, namun disebabkan masih mempunyai kampung halamannya di negeri dengan gelaran Serambi Mekah, ada sedikit salah faham mengatakan dirinya anak jati Kelantan.
“Saya lahir di Kuala Lumpur tapi kampung saya di Kelantan sebab bapa saya berasal dari sana. Saya pernah menetap lima tahun di Amerika Syarikat (tiga tahun di Missouri dan dua tahun di Los Angeles),” katanya kepada Pose.
Katanya, seksi itu bersifat subjektif. Menutup aurat sepenuhnya juga boleh dilihat sebagai daya tarik seksi bergantung kepada intrepretasi seseorang individu.
“Saya takkan pernah mampu tutup mulut orang. Bagi saya secara peribadi, seksi itu adalah sesuatu yang bersifat subjektif. Tergantung bagaimana seseorang itu berfikir.
“Saya tahu di mana posisi saya sekarang. Saya bekerja dalam dunia seni dan banyak mata di luar sana memandang dan memberi pandangan.
“Apa yang boleh lakukan, ini adalah tuntutan seorang selebriti atau anak seni.
“Saya cuma boleh janjikan akan sentiasa jaga diri baik-baik dan ingat apa pesanan orang tua sebelum terjun dalam bidang ini,” getusnya.

Jadi diri sendiri
Mempunyai ramai saudara-mara di Kelantan, namun membesar di ibu kota, Sabronzo menjelaskan setiap apa yang digayakan atau dipaparkan buat tatapan peminat tiada kena mengena dengan tempat kelahiran.
“Ya, saya punya ramai saudara-mara di Kelantan tapi saya membesar di tempat lain. Saya tiada masalah orang ingin tegur atau beri pesanan tentang cara saya berpakaian cuma saya ingin ingatkan, saya adalah diri saya.
“Tiada kena mengena dengan tempat kelahiran. Tiada juga kena mengena dengan kepercayaan yang saya ikuti. Seksi juga tidak bermakna hati saya busuk.
“Seperkara lagi, kalau ingin ‘hentam’ saya, tolong jangan libatkan keluarga terutama orang tua saya.
“Saya pasti orang di luar sana juga senada dengan apa yang katakan ini.
“Jangan hanya kerana saya show some skin (seksi sedikit), mereka rasa berhak atau punya ruang sepenuhnya ingin sakitkan hati orang sekeliling yang saya sayangi,” getus Sabronzo.
Ditanya tentang masa depan dengan Dolla yang dianggotai tiga wanita lain; Syasya, Angel dan Tabby, buat masa sekarang, kumpulan itu adalah segala-galanya buat Sabronzo.

‘Dolla, nombor satu’
Jelasnya, dia sekarang mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan, namun prioriti tetap ‘sisterhood’ atau persaudaraan yang terbina bersama Dolla.
“Sudah jauh perjalanan Dolla sejak 2019. Sudah tentu saya mahukan yang indah-indah buat kumpulan ini.
“Saya mahu Dolla terus maju ke hadapan membawa muzik M-Pop ke mata dunia. Dolla tetap keutamaan nombor satu walau apa sekalipun. Itu janji saya buat masa sekarang.
“Bagaimanapun, saya juga percaya suatu hari nanti, kumpulan ini tidak akan berada pada posisi sekukuh sekarang. Itu juga yang berlaku kepada kumpulan-kumpulan hebat di mana-mana seluruh dunia,” tuturnya.
Katanya lagi, sekali pun Dolla membawa haluan masing-masing, mereka akan tetap bersahabat dan mengekalkan ukhuwah yang terjalin.
“Sekarang pun, saya sendiri sudah mula berlakon dengan filem Pulau. Saya fikir itu adalah langkah mula atau ‘baby step’ untuk penjenamaan diri.
“Kalau ahli lain ada peluang dan ruang yang perlu digapai, tiada apa yang menghalang, namun buat masa sekarang, Dolla atau keutamaan setiap daripada kami,” katanya.
Empat tahun bersama, Sabronzo berkata, persaudaraan terjalin antara ahli Dolla semakin utuh. Itu yang membuatkan mereka ingin terus menzahirkan karya lebih berkualiti selepas ini.
“Selepas Look At This, akan ada lagi projek terbaharu selepas ini. Rentaknya sedikit berbeza, namun masih ‘Dolla’. Akan ada album debut tidak lama lagi barangkali sekitar November.
“Bagi saya, sebagai ketua kumpulan, tiada lain yang saya inginkan selain melihat Dolla terus memberi impak positif kepada belia-belia di luar sana,” tutupnya.
















