fbpx

Kerajaan Britain diminta haramkan vape pakai buang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERAJAAN Britain berdepan tekanan untuk mengharamkan penjualan vape pakai buang yang semakin popular dalam kalangan kanak-kanak. -- Getty Images

LONDON – Kerajaan Britain berdepan tekanan untuk mengharamkan penjualan vape pakai buang selepas peranti tersebut semakin popular dalam kalangan kanak-kanak, lapor akhbar The Guardian kelmarin.

Walaupun kerajaan melarang jualan rokok elektronik termasuk vape kepada penduduk berumur bawah 18 tahun, pakar-pakar berkata, sekitar 15 peratus kanak-kanak berumur 11 hingga 15 tahun menghisap vape di Britain.

Perdana Menteri Rishi Sunak menyatakan pada minggu ini bahawa beliau bimbang anak perempuannya akan ‘tergoda’ oleh produk vape berperisa yang dijual dalam warna-warna cerah.

Inisiatif kerajaan untuk mendapatkan bukti tentang tabiat menghisap vape dalam kalangan belia di England akan berakhir pada 6 Jun ini. Langkah-langkah susulan dijangka dilaksanakan selepas itu termasuk membanteras jualan vape haram dan mengetatkan pemasaran vape pakai buang yang lebih murah.

Populariti vape pakai buang itu melonjak dalam kalangan belia. Seorang pegawai kerajaan berkata, wujud kebimbangan khusus mengenai isu tersebut.

“Sesetengah pemasaran dan penjenamaan agak mengerikan. Kedai vape ini memiliki susun atur dan hiasan seperti kedai manisan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, sesetengah kumpulan kesihatan bimbang tentang pendekatan kerajaan dalam menangani isu tersebut selepas Menteri Muda Kesihatan, Neil O’Brien menggalakkan vape sebagai pengganti rokok tradisional dalam ucapan pada bulan lalu.

O’Brien juga berkata, kerajaan merancang melaksanakan skim ‘tukar untuk berhenti merokok’ dengan menawarkan kit permulaan vape percuma kepada kira-kira sejuta perokok di England.

Kumpulan-kumpulan kesihatan itu berkata, sejarah rokok elektronik singkat, bermakna pengetahuan tentang impak kesihatan jangka panjang dan bukti keberkesanannya dalam menghentikan tabiat merokok adalah terhad.

Mereka mengambil contoh Australia yang membenarkan penggunaan vape hanya melalui saranan doktor.

Difahamkan beberapa kumpulan terbabit telah mengemukakan bukti kesan negatif vape kepada kerajaan dan menyeru supaya peranti itu diharamkan sepenuhnya. Selain mereka, beberapa organisasi alam sekitar bimbang tentang pelupusan lebih sejuta rokok elektronik seminggu dengan semuanya mengandungi plastik, nikotin dan bateri termasuk litium.

Dalam pada itu, Parti Liberal Demokrat menggesa larangan penggunaan vape pakai buang di Britain, manakala pembangkang utama, Parti Buruh hanya menuntut sekatan ke atas pemasaran rokok elektronik yang menjadikannya menarik kepada kanak-kanak.

Bercakap tentang isu tersebut dalam program bual bicara This Morning terbitan ITV pada Khamis lalu, Sunak berkata: “Bagaimana kita boleh mengukuhkan undang-undang berkaitan pemasaran dan promosi (vape)? Nampaknya, mereka (pengeluar vape) menyasarkan produk mereka kepada kanak-kanak. Ini tidak masuk akal, Saya tidak mahu anak-anak saya terjebak”.

Statistik terkini Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) berkaitan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan kanak-kanak menunjukkan sebanyak 9 peratus kanak-kanak berumur 11 hingga 15 tahun menggunakannya.

Namun, Kolej Diraja Pediatrik dan Kesihatan Kanak-Kanak menyatakan, angka sebenar boleh meningkat sehingga 15 peratus, manakala kajian lain menunjukkan golongan muda yang menghisap vape adalah tiga kali ganda lebih cenderung untuk merokok berbanding mereka yang tidak berbuat demikian.

Terdapat juga kebimbangan bahawa jenis vape pakai buang yang digemari oleh kanak-kanak menyalahi undang-undang.

Ujian makmal ke atas vape yang dikumpulkan dari sebuah sekolah menengah di Kidderminster mendapati kebanyakannya mengandungi kadar plumbum, nikel dan kromium yang tinggi. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI