fbpx

Mahkamah: Datuk Roy, pegawai SPRM didakwa rasuah siasatan anak Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Roy atau Mohd. Hussein (baju hitam) dan Mohd. Rasyidi (kemeja kelabu) ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan yang digelar ‘Datuk Roy’ dan seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung siasatan anak Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Fakhri Yassin.

Bagaimanapun “Datuk Roy” atau nama sebenarnya Mohd. Hussein Mohd. Nasir, 54, dan pegawai SPRM Mohd. Rasyidi Mohd. Said, 43, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama kedua-dua tertuduh didakwa bagi mencapai niat bersama telah secara rasuah meminta rasuah RM400,000 daripada seorang wanita berusia 47 tahun.

Rasuah itu sebagai dorongan untuk tidak menahan reman anak bekas perdana menteri itu iaitu Datuk Fakhri Yassin semasa siasatan pihak SPRM.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Lorong Kurau, Bangsar di sini antara pukul 9 malam hingga 11 malam pada 5 Mac lalu.

Sementara bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa menerima suapan atau bagi mana-mana orang lain iaitu wang tunai berjumlah RM240,000 daripada seorang individu berusia 41 tahun atas dorongan sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar sebuah restoran makanan segera di Desa Sri Hartamas di sini antara pukul 2 petang hingga 4 petang pada 6 Mac lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 Akta yang sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, Mohd. Hussein turut didakwa dan mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan iaitu meminta rasuah RM2 juta berhubung siasatan pendakwaan ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah meminta rasuah itu untuk dirinya sendiri daripada dua individu yang mana ia sebagai dorongan untuk menukar pertuduhan yang lebih ringan, menukar keterangan tertuduh (Adam Radlan) kepada saksi, dan mengurangkan wang jaminan terhadap kes pendakwaan yang dihadapi Adam Radlan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Melayu Kepong di sini pada awal bulan Februari lalu yang didakwa mengikut seksyen sama dan peruntukkan hukuman yang sama.

Hakim Suzana kemudian membenarkan Mohd. Hussein diikat jamin RM15,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan manakala Mohd. Rasyidi diikat jamin RM10,000.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Julai ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI