fbpx

Kerajaan lulus dua syarikat pengeluar gula tentu harga gula bertapis jernih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kerajaan meluluskan permohonan dua syarikat pengeluar gula tempatan bagi penjualan gula putih bertapis jernih berkuat kuasa hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia melibatkan dua syarikat pengeluar gula terbesar negara iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR).

Katanya, pihaknya menerima permohonan daripada dua syarikat tersebut untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih dengan harga tidak dikawal kerajaan, sebaliknya ditentukan oleh pasaran.

“Permohonan ini merupakan sebahagian daripada pelan pemasaran syarikat-syarikat tersebut untuk terus kekal berdaya saing dan lestari.

“Kerajaan juga memberi arahan kepada MSM dan CSR untuk terus mengeluarkan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) yang mencukupi untuk pasaran runcit pada harga yang dikawal kerajaan iaitu RM2.85 (kasar) dan RM2.95 (halus) sekilogram,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2022 kementerian itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya sekali lagi menegaskan penjualan gula putih bertapis jernih ini tidak boleh digantikan bekalan gula putih bertapis sedia ada.

“Syarikat-syarikat pengeluar gula boleh diambil tindakan jika tidak mengeluarkan bekalan gula putih bertapis sedia ada (kasar dan halus) yang mencukupi di pasaran.

“Begitu juga kepada mana-mana pemborong dan peruncit yang mengenakan pembelian bersyarat atau tidak menjual gula putih bertapis sedia ada kepada pelanggan,” ujarnya.

Jelasnya, kementeriannya juga turut mengajak pengguna di negara ini untuk mengawasi dan mengawal penggunaan gula demi kesihatan seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan (KKM).

Sementara itu, Salahuddin berkata, Ops Manis akan diteruskan sebulan lagi bagi mengawal harga bekalan tersebut kekal stabil di pasaran.

“Untuk memastikan tiada manipulasi atau mengambil kesempatan (oleh mana-mana pihak) maka Ops Manis telah dilanjutkan bagi memastikan tiada isu kekurangan bekalan gula,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI