fbpx

Sidang DUN: Penebangan hutan, korek pasir ganggu ekosistem sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zolkafly pada Sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

IPOH – Aktiviti penebangan hutan dan pengorekan pasir dikenal pasti sebagai antara punca menyebabkan ekosistem sungai-sungai di negeri ini terganggu sekali gus memberi kesan kepada nelayan darat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, aktiviti lain yang turut dikesan menjadi penyumbang kepada gangguan ekosistem ialah sekatan laluan air oleh empangan, kerja-kerja tanah dan buangan air limbahan domestik.

Katanya, kerajaan negeri dari semasa ke semasa melalui kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan telah menjalankan kempen kesedaran awam dan tindakan undang-undang melalui peruntukan sedia ada.

“Mengenai isu ikan asing yang ditemui di dalam sungai, usaha mengawal kemasukan dan pemeliharaan ikan itu secara tidak sah sedang dilaksanakan.

“Bagi tujuan tersebut, Jabatan Perikanan akan memperkenalkan kawalan dan peraturan baharu iaitu Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Darat) dan di peringkat penyediaan dokumen,” katanya ketika menjawab soalan lisan Burhanuddin Ahmad (PN-Manong) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zolkafly, kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan juga telah mewujudkan beberapa santuari ikan air tawar bagi pemuliharaan ikan semula jadi seperti ikan kelisa di Bukit Merah, ikan kelah di Sungai Tiang dan ikan Loma di Sungai Rui.

Tambah beliau, sebanyak 4.14 juta benih ikan dan udang telah dilepaskan Jabatan Perikanan di perairan umum di seluruh daerah di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, daerah Kuala Kangsar merekodkan pelepasan benih tertinggi iaitu 1.01 juta diikuti daerah Perak Tengah (683,000), Hilir Perak (537,428), Hulu Perak (514,250) dan Kampar (349,000). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI