fbpx

Lelaki mengamuk jadikan ibu tebusan mati ditembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

BAGAN DATUK – Seorang lelaki yang bertindak agresif dengan menjadikan ibunya sebagai ‘tebusan’ mati ditembak dalam kejadian di sebuah rumah di Hutan Melintang, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Hilir Perak menerima laporan berhubung tindakan agresif suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah pada pukul 10 pagi.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota pergi ke lokasi kejadian pada pukul 11.30 malam untuk memberi bantuan ekoran suspek tiada di rumah pada waktu siang.

“Setibanya di lokasi, pihak polis memujuk suspek berusia 44 tahun untuk memberikan kerjasama, namun lelaki itu enggan dan bertindak lebih agresif.

“Suspek mengugut untuk menetak dan mencederakan ibunya yang berusia 72 tahun dengan cara meletakkan parang di leher wanita itu sekali gus menuntut polis supaya beredar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, bimbang dengan keselamatan warga emas itu, pihak polis sedaya upaya memujuk suspek untuk bertenang, namun dia memeluk ibunya sambil mengacukan parang dan gunting.

Katanya, pihak polis secara berhati-hati telah memotong pintu jeriji yang dikunci lelaki itu dari dalam dan berjaya masuk ke rumah, namun tindakan tersebut disedari suspek.

“Suspek kemudian bertindak menolak ibunya hingga jatuh dan pengsan sebelum membaling kipas angin dan menghayun parang ke arah polis yang cuba menangkapnya.

“Atas faktor ancaman nyawa, satu das tembakan terpaksa dilepaskan ke arah suspek dan terkena di bahu kiri sebelum suspek rebah atas lantai,” katanya.

Tambah beliau, suspek disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk dibedah siasat.

“Berdasarkan siasatan, lelaki yang bekerja kampung itu memiliki dua rekod kes dadah. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI