fbpx

Peruntukan RM4.1 juta baik pulih sekolah, bangunan terjejas akibat ribut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander dan Fadhlina ketika meninjau kerosakan bumbung Sekolah Kebangsaan Setapak, Jalan Chan Chin Mooi, Off Jalan Pahang, Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh IQBAL RUSLI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Dianggarkan sebanyak RM4.1 juta diperlukan untuk menyelenggara dan membaik pulih sekolah serta banggunan kerajaan yang terjejas akibat ribut di sekitar ibu negara, Jumaat lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kesemua premis yang terkesan melibatkan bangunan di bawah 
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pertahanan (Mindef), Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Kerja Raya (KKR).

Menurut beliau, proses baik pulih dijalankan di 29 buah sekolah, lima unit kuarters milik Mindef, Sebuah bangunan Kedutaan Palestin dan beberapa kuarters milik KKR sendiri.

“Pada mulanya, 15 sekolah dilaporkan mengalami kerosakan namun JKR dapat laporan tambahan 14 sekolah lagi dilaporkan rosak. Jumlah keseluruhan 29 sekolah.

“Pembaikan dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) namun menggunakan peruntukan KPM, dianggarkan dalam RM3 juta kos baik pulih semua sekolah yang terlibat,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kerosakan bumbung Sekolah Kebangsaan Setapak, Jalan Chan Chin Mooi, Off Jalan Pahang, di sini, hari ini.

Tambah beliau, lima unit rumah jenis kuarters Mindef yang terjejas akibat ribut juga akan diperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi kos baik pulih.

“Bagi banggunan milik KKR gerak kerja pemulihan dan penyelenggaraan sudah dijalankan namun tidak membabitkan sebarang kos kerana menggunakan peruntukan dalaman.

“Bagi banggunan Kedutaan Palestin, JKR sudah memanggil kontraktor untuk melaksanakan kerja memotong pokok yang tumbang, membersihkan dan menjalankan kerja-kerja pembaikan elektrik. Kerosakan dianggarkan bernilai RM600,000,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan beberapa langkah sudah dilaksanakan kementeriannya bagi memastikan kerja baik pulih sekolah dijalankan segera.

“Di sekolah ini sahaja (SK Setapak) sebanyak 8 kelas terpaksa ditutup sekali gus 70 murid terkesan dengan bencana yang berlaku ini.

“Justeru itu, kerja baik pulih sekolah akan mengambil masa sedikit kerana ada 29 buah sekolah yang terkesan (serentak), diharapkan dalam masa cuti sekolah kesemua sekolah ini berjaya dibaik pulih,” jelasnya.

Jumaat lalu, Kosmo! melaporkan sebanyak 10 kejadian pokok tumbang direkodkan susulan ribut kuat yang melanda berlaku di ibu negara setakat pukul 8 malam.

Bagaimanapun, tiada mangsa direkodkan terlibat dalam kesemua kejadian pokok tumbang tersebut. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI