fbpx

Penjual ikan ditahan edar dadah bernilai RM3.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shuhaily (tengah) menunjukkan barang yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini. Foto oleh FAUZI BAHARUDIN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seorang penjual ikan ditahan polis gara-gara disyaki mengedar dadah bernilai RM3.2 juta dalam satu serbuan di sekitar Lembah Klang, Khamis lalu.

Tiga serbuan dalam Ops Snakewood itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (JSJN IPK KL) kira-kira pukul 8.20 malam hingga 10.40 malam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, lelaki warga tempatan itu mula menjalankan kegiatan terbabit pada Januari lalu atas desakan hidup dan mendapatkan bekalan dadah dari luar negara.

Jelasnya, suspek berusia 41 tahun menjadikan kenderaan mewah serta rumah kediaman sebagai stor simpanan sebelum menghantar ke ‘runner’ bagi diedarkan ke pasaran Lembah Klang.

“Dalam serbuan pertama, suspek ditahan di sebuah kondominium di kawasan Selayang bersama 10 biji pil ekstasi disembunyikan dalam beg silang yang dipakainya.

“Susulan daripada tangkapan tersebut, sejumlah dadah pil ekstasi dan pil erimin 5 dengan anggaran berat 20 kilogram (kg) ditemui dalam serbuan kedua.

“Ia dijumpai dalam bonet kereta jenis Mercedes Benz dipercayai milik suspek yang diletakkan di tempat parkir kereta bangunan kondominium yang sama,” katanya dalam sidang akhbar, di IPK, di sini, hari ini.

Tambahnya, hasil serbuan ketiga di sebuah rumah banglo di Batu Caves, Selangor, dipercayai dijadikan stor penyimpanan, turut menemui pil erimin 5 dengan anggaran berat 57 kg.

Walau bagaimanapun, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau tetapi ujian air kencing mendapati positif dadah jenis amphetamine.

“Jumlah keseluruhan dadah yang berjaya dirampas adalah pil erimin 5 (77 kg) dan ekstasi (760 gram) dengan bernilai sebanyak RM3.2 juta.

“Polis turut menyita harta suspek seperti wang tunai dan tiga buah kereta dengan nilai RM411,000 menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah RM3.6 juta,” ujarnya.

Suspek direman selama tujuh hari sehingga 25 Mei di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI