fbpx

Polis tahan empat lelaki buat kecoh semasa perlawanan Liga Super

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

IPOH – Polis menahan empat lelaki kerana melakukan kekecohan semasa perlawanan Liga Super antara Perak FC menentang Selangor FC di Stadium Perak di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, keempat-empat lelaki tempatan yang ditahan itu berusia antara 18 hingga 26 tahun.

“Kekecohan itu berlaku pada pukul 9.17 malam ketika perlawanan antara dua pasukan sedang berlangsung.

“Insiden itu bagaimanapun dapat dikawal oleh pasukan polis yang berada di tempat kejadian di mana empat lelaki ditahan kerana melakukan kekecohan,” katanya.

Menurut beliau, ujian saringan ke atas mereka mendapati seorang daripadanya positif dadah jenis ganja.

“Kesemua mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini bagi mendapatkan permohonan reman.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau melihat rakaman video mahupun gambar insiden itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kanan jenayah, Asisten Superintenden Chua Sze Yuan di talian 012-6195312.

“Maklumat itu akan membantu kita mengesan penyokong-penyokong lain yang terlibat dalam kekecohan berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI