fbpx

Ibu, bapa tiri nafi cederakan anak guna parang, tukul besi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan anak lelaki mereka menggunakan parang dan tukul besi pada tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Rahimi Kamarudin, 34 dan isterinya, Sharifah Nur Aziah Syed Murad, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus empat pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara bersama-sama dengan sengaja telah memukul Mohamad Nazim Izany Syamsudin, 13, menggunakan tukul besi sehingga mangsa cedera di bahagian kepala kira-kira pukul 7 petang di sebuah rumah di Klebang Besar, pada awal Februari 2022.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa secara bersama-sama menyebabkan cedera terhadap mangsa sama menggunakan parang sehingga mangsa mengalami kecederaan di bahagian tangan dan pinggang yang dilakukan di lokasi sama pada akhir bulan Januari 2022.

Kedua-dua mereka turut berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama atas kesalahan mengabaikan atau mendedahkan mangsa sama dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Widuri, Bachang, di sini pada kira-kira pukul 12 tengah malam pada awal Februari hingga 7 Februari 2022.

Difahamkan, mangsa merupakan anak kandung hasil perkahwinan pertama Sharifah Nur Aziah dengan bekas suaminya.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan serta memohon syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai serta perlu melapor diri di balai polis mengikut kesesuaian waktu tertuduh.

Peguam Muhammad Syah Azlan Abdullah, yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan dibenarkan dengan alasan mangsa berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tidak tinggal bersama anak guamnya sejak kejadian.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Darmafikri membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dan bersetuju dengan syarat tambahan dipohon oleh pihak pendakwaan, selain pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 20 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan psikiatrik mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI