fbpx

STL medan terbaik cungkil bakat baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAKIL pemain daripada 10 pasukan yang akan berentap merebut gelaran STL Premier 2023 pada majlis pelancaran dan pengenalan jersi pasukan STL di WTC KL hari ini. - SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Saingan musim baharu Liga Sepak Takraw (STL) 2023 kembali menemui para peminat sukan itu apabila dijadualkan membuka tirainya bermula 26 Mei hingga 5 Ogos depan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh percaya saingan STL sentiasa berjaya melahirkan bakat-bakat baharu buat pasukan kebangsaan selain menjadi pentas pertama sebelum beraksi di peringkat antarabangsa.

“STL menjadi medan mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda selain telah melahirkan ramai pemain berkualiti dan berkaliber yang telah berjaya mengharumkan nama negara di Sukan SEA Kemboja 2023.

“Hampir kesemua pemain sepak takraw negara yang beraksi di temasya kali ini adalah daripada pemain-pemain STL dan berjaya membawa pulang empat pingat perak serta empat gangsa.

“Semangat dan peningkatan permainan ditunjukkan membuktikan skuad negara bukanlah lawan mudah. Saya yakin STL adalah platform pendedahan terbaik sebelum beraksi di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran dan pengenalan jersi pasukan STL 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) hari ini.

HANNAH (dua dari kanan) dan Sumali (dua dari kiri) menunjukkan piala yang menjadi rebutan 10 pasukan dalam saingan STL Premier musim ini. – SHIDDIEQIIN ZON

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, Piala Cabaran buat kali pertamanya diperkenalkan selain kehadiran pemain import paling ramai bagi musim ini.

“Piala Cabaran ini akan menampilkan empat pasukan teratas STL Premier 2023 dalam pusingan kalah mati. Tujuan ia diperkenalkan bagi memastikan debaran dan kerancakan aksi STL berterusan.

“Sebelum ini STL meriah dengan pemain-pemain import dari Thailand. Kali ini akan ada juga dari Indonesia sekali gus menjadikan keseluruhan 13 pemain import untuk musim ini,” jelasnya.

10 pasukan berentap merebut gelaran STL Premier 2023 iaitu juara bertahan, ATM Guardians, KL Thunder, Johor Tigris, Penang Black Panthers, Negeri Sembilan Antlers, Perak Bison, Bomba Fighters, Melaka Titans, Sabah Mountaineers dan KPT-Masum Knights.

Lima venue menjadi pilihan edisi kali ini bermula Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar dari 26 hingga 28 Mei diikuti Spice Arena, Pulau Pinang (2-4 Jun), Dewan Majlis Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan (16 Jun-2 Julai), Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur (7-23 Julai) dan Iskandar Malaysia Studios, Johor Bahru (30 Julai – 5 Ogos).

Selain STL Premier, STL Divisyen 1 dan Piala Cabaran, saingan Piala Juara-Juara juga turut dikekalkan dengan menghimpunkan empat pasukan teratas STL Premier, satu STL Divisyen 1 serta empat pasukan jemputan antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI