fbpx

Satu kontena kitab Injil guna kalimah Allah cuba dibawa masuk pada tahun 2005

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOH

PETALING JAYA – Bekas Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KKDN), Tan Sri Noh Omar mendedahkan pada tahun 2005 terdapat satu kontena mengandungi kitab Injil menggunakan kalimah Allah cuba dibawa masuk ke Malaysia.

Menurut beliau, ketibaan kitab Injil di tulis dalam Bahasa Indonesia berkenaan di Pelabuhan Klang ketika itu dimaklumkan oleh bekas Ketua Setiausaha KKDN, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof.

“Saya mengarahkan kontena itu tidak dibenarkan masuk ke dalam negara. Saya merasakan ini mungkin perancangan pihak tertentu untuk mengimport bahan bacaan berbentuk dakwah bagi sesuatu agama yang boleh mengelirukan akidah umat Islam.

“Ketika itu kerajaan Barisan Nasional (BN) satu kerajaan yang kuat dan mempunyai sokongan 198 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat iaitu sokongan lebih dua pertiga, maka tiada mana-mana pihak mempertikaikan tindakan tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Noh berkata, beliau selaku bekas Timbalan Menteri KKDN menyokong kenyataan Majlis Agama Islam Selangor tidak bersetuju dengan tindakan Kerajaan Persekutuan menarik balik kes rayuan kalimah Allah kepada Mahkamah Rayuan.

Menurut beliau, isu itu bukan sahaja berkaitan pentadbiran, istilah dan keselamatan, tetapi ia turut melibatkan akidah umat Islam serta pentadbiran agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa Raja-Raja Melayu di setiap Negeri.

Katanya, mahkamah tempat terbaik untuk mencari jalan penyelesaian mengenai isu kalimah Allah dan sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak kepada rayuan Kerajaan Persekutuan, maka Kerajaan Madani boleh meminda undang-undang sedia ada.

“Agar perkataan kalimah Allah, baitullah, kaabah dan solat hanya boleh digunakan oleh orang Islam sahaja atau membuat undang-undang baru yang mempunyai maksud yang sama.

“Walaupun undang-undang tersebut berkemungkinan hanya terpakai di Wilayah Persekutuan, tetapi ia boleh dijadikan panduan kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk meminda atau membuat enakmen baharu berkaitan isu ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI