fbpx

Misi perpaduan sekadar slogan kosong – Dr. Ridhuan Tee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RIDHUAN TEE menasihatkan orang Islam juga untuk bertindak secara berhemah dalam sesuatu perkara agar tidak menjadi fitnah kepada agama. Foto Amarullah Zainuzzaman

ISU penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka baru-baru ini mencalar keharmonian di negara ini. Kes yang diklasifikasikan sebagai isu 3R (agama, raja dan kaum) mendapat perhatian ramai sehingga diperdebatkan di pelbagai peringkat lapisan masyarakat.

Bahkan, pengasas dan pengerusi eksekutif kedai serbaneka tersebut menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk memohon maaf atas kesalahan pihaknya.

Isu ini turut menimbulkan persoalan tahap sebenar perpaduan masyarakat di Malaysia sehingga terdapat pihak yang masih tidak peka tentang sensitiviti berkaitan 3R.

Wartawan KOSMO! AHAD, SITI SARAH NURUL LIYANA berkesempatan menemu bual pendakwah bebas yang juga profesor di Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah bagi merungkai kepincangan perpaduan negara dengan lebih mendalam.

KOSMO AHAD!: Pertama sekali, bagaimana Prof. melihat perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia ketika ini? Adakah terdapat perbezaan berbanding era 80-an dan 90-an?
DR. MOHD RIDHUAN TEE: Apabila berbicara tentang perpaduan di Malaysia, titik paling penting adalah rusuhan kaum 13 Mei 1969. Peristiwa tersebut bagaikan satu ‘peringatan’ kepada kaum-kaum di Malaysia tentang mudaratnya ketegangan kaum. Rentetan itu, kita boleh lihat wujudnya Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baharu sebagai usaha untuk menangani tragedi tersebut daripada berlaku lagi. Hasilnya memberangsangkan, kita juga dapat melihat ramai orang bukan Melayu memasuki industri hiburan tanah air pada era 1980-an. Sebagai contoh kumpulan Cenderawasih dan DJ Dave (India) serta kumpulan Kenny, Remy dan Martin (Cina). Walaupun jurang ekonomi masih tidak dapat dirapatkan, namun perpaduan dalam peringkat masyarakat sudah kelihatan semakin ketara. Masyarakat bukan Melayu mengambil inisiatif untuk memasuki kelompok Melayu dengan fasih berbahasa Melayu sementara kelompok Melayu pula menerima mereka seadanya. Pada ketika itu, tiada isu sensitif disentuh kerana peristiwa 13 Mei masih lagi segar dalam memori masyarakat.

Bagaimanapun pada era ini, perpaduan antara kaum sudah semakin renggang. Walaupun sudah hampir seabad kita merdeka, majoriti masyarakat bukan Melayu masih lagi tidak fasih berbahasa Melayu. Ini lebih menyedihkan bagi mereka yang lahir di negara ini dan mahu diiktiraf sama rata dengan masyarakat bumiputera. Masalah semakin bertambah apabila kaum bukan Melayu atau lebih tepat bukan Islam sudah semakin berani menyentuh hal ehwal agama Islam. Mereka tidak memiliki ilmu tetapi berani menyentuh isu sensitif yang sudah tentu akan membangkitkan kemarahan majoriti.

Bagaimanakah isu perpaduan berlaku? Apakah bibit-bibit permulaan yang menjurus kepada kesukaran masyarakat Malaysia mencapai tahap perpaduan yang kita idamkan selama ini?
Kesukaran untuk mencapai perpaduan itu dimulakan dari rumah. Penempatan kita sendiri dibahagikan mengikut kaum seperti penempatan Melayu, Cina dan India. Kemudian masalah diteruskan lagi dengan kehadiran sekolah vernakular yang menjadi permulaan kepada proses pendidikan dan pembentukan peribadi seorang modal insan. Ini menyebabkan kaum-kaum ini kekal janggal untuk berinteraksi antara satu sama lain walaupun disatukan ke dalam sekolah menengah kebangsaan dan universiti tempatan.

Akhirnya mereka hanya akan duduk dalam kelompok masing-masing sama ada di kelas, di kantin atau ketika melakukan tugasan. Maka, tidak hairanlah sehingga ke peringkat dewasa, mereka masih rasa terasing biarpun membesar dalam negara yang sama dan memegang kad pengenalan sama. Masyarakat kita sekadar bertoleransi, namun masih menyimpan syak wasangka yang masih menebal antara satu sama lain. Ia bagaikan ‘bom jangka’. Bila-bila masa saja boleh meletus jika ada pihak yang cuit.

Gunakanlah platform penganjuran rumah terbuka sempena Aidilfitri untuk mengeratkan hubungan antara kaum. – Gambar hiasan

Salah satu faktor perpecahan ini berlaku disebabkan perbezaan politik. Apakah pendapat prof. mengenai parti politik berorientasikan perkauman ini?
Kewujudan parti politik berasaskan kaum tidak dapat dielakkan kerana secara asasnya, kehidupan bermasyarakat di Malaysia adalah berasaskan kaum. Daripada penempatan, sekolah, saluran media (televisyen, media dan surat khabar) serta bahan bacaan umum juga berasaskan kaum. Oleh itu, kita memang dibentuk untuk berpecah dari segi pemikiran, tingkah laku dan interaksi sosial sejak awal lagi. Dari kecil, kita sememangnya dimomok dengan pegangan berorientasikan ethnocentrism (merasakan kaum sendiri lebih baik daripada kaum lain). Ini mengakibatkan misi perpaduan itu sekadar slogan kosong. Perkara ini yang digunakan oleh parti politik bagi memperkukuh sokongan demi mengekalkan kuasa masing-masing.

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan isu kalimah Allah pada stoking sehingga mengundang kemarahan umat Islam. Rententan itu berlaku boikot dan serangan bom petrol terhadap KK Mart. Apakah pendapat terhadap isu ini?
Isu melibatkan sensitiviti agama Islam bukan pertama kali berlaku di negara ini. Masyarakat bukan Islam seharusnya sudah peka terhadap perkara-perkara yang boleh membangkitkan kemarahan orang Islam. Apapun perkara ini sudah terjadi dan pihak berkuasa juga sedang menyiasat hal ini. Tetapi masyarakat bukan Islam perlu faham bahawa kesabaran orang Islam juga terbatas. Sekiranya diulang-ulang kesalahan sama, tidak mustahil ia akan tiba di penghujung kesabaran. Anda tidak boleh melakukan sesuatu, tetapi terkejut dengan reaksi yang diterima. Dalam masyarakat Melayu, ada istilah ‘amuk’ yang merujuk kepada tindakan ganas yang berlaku akibat kemarahan yang meluap-luap.

Bagaimanapun, saya ingin nasihat juga kepada orang Islam supaya bertindak secara berhemah. Cukuplah kita lantang bersuara, boikot dan biarkan undang-undang mengadili mereka seadilnya. Janganlah terlalu ekstrem sampai melakukan keganasan di luar batasan kerana ia bercanggah dengan tuntutan agama. Kita perlu ingat, tindakan kita mencerminkan agama kita sendiri. Ini akan menimbulkan fitnah bahawa agama kita menggalakkan keganasan.

Disebabkan isu ini, kita dapati berlaku peperangan hangat di media sosial antara bukan Islam dan Islam sehingga membawa bibit perpecahan. Mengapakah perkara ini boleh berlaku dalam masyarakat kita yang sudah hidup bersama hampir seabad?
Disebabkan asas pemikiran masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia berbeza, cara kita mengulas isu kalimah Allah juga berbeza. Bagi orang kafir, orang Islam ini melebih-lebih dalam memberi reaksi terhadap isu tersebut. Perkara ini berlaku kerana mereka membandingkan dengan pegangan agama mereka yang tidak memiliki masalah sekiranya berlaku hal demikian. Walaupun sudah 66 tahun merdeka, mereka masih lagi tidak mampu memahami sensitiviti masyarakat majoriti yang ada di Malaysia. Bahkan, mereka jadi celupar dalam mempertikaikan hal tersebut. Mereka gagal memahami bahawa Islam menjunjung tinggi kalimah Allah sehinggakan al-Quran yang sudah lusuh juga dikendalikan dengan penuh adab sebelum dilupuskan.

Pada saya, masyarakat Islam tidak pernah mempertikaikan berkenaan rumah ibadat agama lain walaupun agama lain tidak diiktiraf dalam Perlembagaan Malaysia. Ini bersesuaian dengan tuntutan agama Islam berkenaan dengan hak bukan Islam di negara Islam. Oleh itu, jangan pertikaikan agama kami, sedangkan agama kami melindungi hak kebebasan beragama kamu.

Bagi membendung isu ini, pihak kerajaan telah menguatkuasakan akta berkaitan 3R. Pendapat prof. bagaimana?
Perlu lihat sejauh mana akta ini diaplikasikan. Bagi saya, tidak salah untuk kita membahaskan isu agama, raja dan bangsa sekiranya ia berlaku secara berhemah kerana ini akan membantu kefahaman umum. Masalah timbul apabila kita mula membahas dengan tujuan membangkitkan kemarahan atau bersifat biadap terhadap agama, raja dan bangsa. Kita perlu contohi kisah Saidina Umar Al-Khattab yang lantang menyeru agar ditegur jika dirinya menyeleweng. Penguatkuasaan akta 3R tidak patut digunakan untuk mendiamkan masyarakat, tetapi ia sepatutnya dilaksanakan sebagai batasan agar teguran dan perbahasan tak dilakukan secara berlebih-lebihan.

Sempena bulan Syawal ini, banyak rumah terbuka dianjurkan. Ia boleh menjadi medium untuk mengeratkan kembali silaturahim antara kaum. Prof. bersetuju?
Amalan rumah terbuka ini hanya ada pada budaya Melayu Islam. Rumah terbuka ini bermaksud tiada istilah jemputan khas untuk orang-orang tertentu seperti yang diamalkan budaya lain. Budaya Cina misalnya kalau dia tidak jemput anda, saya nasihat jangan pergilah, tiada konsep (terbuka) sebegitu. Tetapi ajaran Islam kita terbuka, boleh terima siapa saja walau tidak kenal. Betapa universalitinya dan besarnya konsep perpaduan dalam Islam. Amalan ini kemudian telah diserap menjadi budaya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia bila diadakan Rumah Terbuka Raya Cina, Rumah Terbuka Deepavali dan sebagainya. Jadi, sempena Aidilfitri ini, ambillah kesempatan ini, gunakanlah platform ini untuk kita tidak kira apa jua kaum untuk menjalinkan silaturahim dan perpaduan antara kita.

 

EKSTRA
PROF. DR. MOHD. RIDHUAN TEE ABDULLAH
 Berasal dari Perak
 Memeluk Islam pada tahun 1985
 Meraih Diploma Pengajian Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
 Mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah Sains Politik serta Sarjana Sastera dalam bidang Analisis Polisi dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia
 Meraih Doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang Politik dan Kerajaan dari Universiti Putra Malaysia
 Profesor di Institut Penyelidikan Produk & Ketamadunan Islam (INSPIRE), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI