BULAN depan sewa rumah naik RM300, sewa kedai juga sama, kenaikan antara RM200 hingga RM300.
Situasi ini membelenggu penyewa yang pastinya akan meningkatkan perbelanjaan bulanan mereka di samping pelbagai hutang lain.
“Pemilik rumah maklumkan bermula Jun, bayaran sewa naik RM300 kepada RM1,600,” kata seorang wanita yang menyewa rumah teres dua tingkat di Johor Bahru.
Situasi itu juga membelenggu pemilik rumah sewa kerana turut terkesan dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kali kelima kepada 3.0 peratus.
Menerusi laporan Kosmo!, golongan ini terpaksa menaikkan kadar sewa bagi mengelak perlu mengeluarkan belanja tambahan bayaran bulanan bank.
Dalam hal ini, belas ihsan dan kejujuran pemilik rumah sewa dituntut, janganlah seperti menangguk di air keruh, pura-pura terbeban sedangkan pinjaman rumah atau kedai telah habis dibayar.
Tidak perlu bersikap kononnya turut sama terseksa dengan OPR seperti penyewa.
Mereka yang menyewa sememangnya tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri. Dengan kenaikan harga simen dan besi pastinya harga rumah turut mencanak.
Mereka yang memilih jenis pembiayaan islamik dengan kadar tetap mampu tersenyum ketika ini. Bayaran bulanan tidak terjejas.
Di sebalik keluhan ramai, masih ada yang mengeluarkan kata-kata menyakitkan, seolah-olah pandai dan tidak cakna tentang kesusahan orang lain.
Terdapat komen mempertikaikan sikap orang ramai yang memilih jenis pembiayaan konvensional, tidak selidik dahulu pinjaman selain mengatakan kenaikan hanya sedikit dan tidak perlu diperbesarkan.
Sikit-sikit boleh jadi beban besar juga. Asasnya jika mereka mampu, pastinya tidak akan kecoh. Memandang remeh keluhan sangatlah tidak beradab sebaliknya berilah sedikit rasa prihatin.
Dua kesan paling jelas dihadapi orang ramai susulan kenaikan OPR adalah bayaran balik pinjaman bertambah dan harga barang akan naik.
Sehingga kini, ramai yang masih merasai kesan Covid-19. Kisah dipaparkan dalam satu komuniti di Facebook menceritakan tentang diri mereka yang menanggung hutang keliling pinggang.
Ada antaranya mengambil keputusan untuk mengisytiharkan diri sendiri bankrap atau membiarkan status bertukar menjadi muflis.
Kisah ahli perniagaan, pemilik rumah dan premis serta individu dengan bebanan hutang berkongsi penderitaan bagi mencari solusi.
Kebimbangan penulis adalah cadangan atau saranan salah dijadikan panduan. Sebaliknya carilah pakar.
Pandangan seorang pakar ekonomi berhubung kenaikan OPR pada Jun ini perlu juga diambil serius.
Ketika ini, lihat semula cara menguruskan kewangan. Moga kita semua dapat menyesuaikan diri. Mari kita menyimpan kerana perbelanjaan makin panas seiring cuaca ketika ini. -KOSMO! ONLINE
















