SUNGAI PETANI – Ribuan pengguna di daerah Kuala Muda menyerbu kedai-kedai runcit dan pasar raya bagi mendapatkan bekalan air minuman selepas sebahagian besar kawasan perumahan di situ mengalami gangguan bekalan air sejak kelmarin.
Keadaan itu menyebabkan banyak premis kehabisan air minuman dan air mineral sehingga memaksa penduduk di situ mencarinya sehingga ke kawasan atau daerah lain termasuk di Gurun dan Alor Setar.
Selain berebut air minuman, penduduk dikatakan pergi ke beberapa lokasi untuk mendapatkan air dari paip seperti di stesen-stesen minyak tertentu dan juga dari telaga tiub wakaf, di samping dari lori Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA).
Peniaga kedai makan, Maimunah Yop, 48, berkata, dia terpaksa menutup perniagaannya di Taman Ria Jaya, di sini.
“Susahlah macam ini kerana kami memerlukan air yang banyak untuk memasak, membasuh dan menyediakan minuman kepada pelanggan.
“Jika masalah bekalan air ini berlarutan lama tentunya menjejaskan punca pendapatan kami,” katanya di sini semalam.

Pekerja kilang di Kawasan Perindustrian Ringan, Taman Ria Jaya, Mohamad Halim Hassan, 20, berkata, dia terpaksa ke beberapa premis perniagaan membeli air mineral untuk digunakan keluarga dan rakan sekerja.
“Memang kali ini sukar untuk mendapatkan bekalan air mineral bersaiz 500 mililiter (ml) atau lebih besar ekoran banyak kedai kehabisan stok kerana ramai melakukan pembelian panik.
“Jika ada pun tak sebanyak yang kita mahu, sebaliknya dijual secara runcit kerana orang lain pun memerlukannya juga,” katanya.
Menurutnya, harga air mineral semua saiz juga dikesan mengalami kenaikan antara 20 sen hingga 40 sen sebotol.

Di George Town, Pulau Pinang, tinjauan di beberapa pasar raya besar, pasar mini dan kedai runcit di daerah Barat Daya dan Seberang Perai mendapati, air minuman itu laris sejak kelmarin ekoran gangguan bekalan air.
Seorang pelanggan yang ingin dikenali Sharifah Aliya, 30, berkata, ini kali kedua dia terpaksa membuat pembelian panik selepas berdepan dengan masalah gangguan air beberapa kali seperti pada Julai tahun lalu.
“Tahun lalu, ketika mendapat tahu mengenai berita ini, secara kebetulannya saya dalam perjalanan ke pasar raya.
“Tapi, kali ini saya tahu agak lambat. Maka, terpaksa jugalah membeli air mineral yang masih ada. Itupun sudah tidak banyak mana,” katanya yang tinggal berhampiran Bukit Minyak.
Tinjauan di beberapa kedai makan dan restoran di lokasi sama mendapati, sebahagian peniaga menyimpan dan menadah air dalam baldi atau bekas simpanan air yang besar selain mengambil langkah penjimatan seperti mengurangkan penggunaan pinggan, mangkuk dan cawan. -KOSMO! ONLINE
















