fbpx

Tarik rayuan kalimah Allah, badan peguam syarie tuntut penjelasan kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainul Rijal

KUALA LUMPUR – Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan menuntut penjelasan Kerajaan Malaysia yang menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar turut memohon penjelasan sama ada Majlis-Majlis Agama
Islam Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Kedah yang telah diberikan hak oleh mahkamah sebagai Amicus Curae (sahabat mahkamah), dirujuk sebelum sebarang tindakan diambil oleh kerajaan.

“Penjelasan penuh perlu diberikan berkaitan tindakan ini dan mengapa terdapat perbezaan tindakan yang tidak dimaklumkan kepada masyarakat Islam juga,” ujarnya sambil melahirkan rasa dukacita dan kekesalan dengan tindakan itu.

Ujar Zainul Rijal, di Selangor terdapat undang-undang negeri yang menghalang penggunaan
kalimah-kalimah tertentu termasuk kalimah Allah yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri
dan diperkenan oleh Sultan Selangor.

Menurut beliau, sebagai Ketua Agama Negeri yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa budi bicara di bawah Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, penarikan balik secara unilateral ini telah menjejas kuasa Sultan Selangor khususnya.

Zainul Rijal mengulas tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan berhubung keputusan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka.

Sementara itu, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) yang mewakili lebih 70 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan NGO Islam akan menggerakkan bantahan agar Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik pembatalan rayuan itu.

Media hari ini melaporkan, notis pemberhentian tersebut telah difailkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 18 April lalu.

Menurut notis berkenaan, KDN dan Kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan turut menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan telah merekodkan penarikan balik tersebut. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI