fbpx

PRN: Rundingan kerusi PH-BN lagi 5 peratus selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lih Kang.

SEBERANG PERAI – Rundingan mengenai pembahagian kerusi dalam Kerajaan Perpaduan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri kini telah mencapai angka 95 peratus.

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata, selain parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH), rundingan yang sama turut melibatkan rakan sekutu mereka ketika ini iaitu Barisan Nasional (BN).

“Setakat ini, yang belum selesai (rundingan) itu sangat sedikit. Saya fikir dalam lima peratus sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan rasmi ke Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Lih Kang dalam sidang akhbarnya sebelum ini memberitahu, rundingan mengenai pembahagian kerusi antara parti di bawah Kerajaan Perpaduan di keenam-enam negeri itu menunjukkan perkembangan yang positif.

Mengulas lanjut, Lih Kang berkata, secara umumnya, rundingan tersebut berjalan dengan lancar dan beliau yakin akan dapat diselesaikan tanpa sebarang masalah sebelum PRN berlangsung.

Ditanya mengenai formula pengagihan kerusi di bawah Kerajaan Perpaduan pula, jelas beliau, ia seperti yang dipersetujui bersama sebelum ini iaitu penyandang akan kekal mempertahankan kerusi masing-masing.

“Secara amnya begitulah. Tempat yang kita menang, rakan-rakan lain (dalam Kerajaan Perpaduan) tidak akan ‘sentuh’.

“Tapi itu secara am sahaja. Sudah tentu negeri yang berbeza ada strategi yang berbeza juga,” ujarnya yang memberitahu, bendera atau logo yang akan dipakai oleh pakatan PH-BN akan diumumkan oleh kepimpinan tertinggi tidak lama lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI