fbpx

Nelayan warga Thailand hilang ketika memukat ikan bilis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota pasukan mencari dan menyelamat bersiap sedia memulakan tugasan mencari seorang nelayan yang hilang selepas dipercayai terjatuh ketika memukat ikan bilis di perairan Pulau Bidan, di sini pagi tadi.

YAN- Seorang nelayan warga Thailand dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari bot dinaiki bersama tujuh awak-awak termasuk seorang tekong kira-kira 1.8 batu nautika barat daya Pulau Bidan, dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.25 petang itu, Dongbagee Tingsa, 33, disedari hilang oleh tekong bot nelayan tempatan itu ketika melakukan aktiviti memukat ikan bilis di kawasan Pulau Bidan.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, sebaik menerima laporan daripada pengadu, Yong Thiew Yiew yang juga merupakan tekong bot berkenaan pada pukul 2.35 petang, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan Op Mencari dan Menyelamat (Carilamat) menggunakan bot Perkasa 1226.

“Kita turut dibantu beberapa bot milik Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Yan, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Yan, serta sekumpulan nelayan tempatan meliputi keluasan kira-kira 9.38 batu nautika persegi.

“Namun operasi terpaksa dihentikan pada pukul 7 malam tadi selepas mangsa gagal ditemui sebelum disambung semula hari ini,” katanya melalui satu kenyataan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, mangsa telah lama bekerja sebagai nelayan bot pukat bilis yang berpengkalan di Tanjung Dawai itu.

“Mangsa disedari hilang oleh tekongnya ketika mereka memukat ikan bilis di kawasan berkenaan dan selepas usaha mencari gagal menemui mangsa, tekong berkenaan membuat laporan kepada pihak kita sejurus selepas itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI