fbpx

Dibuli zaman sekolah, Andy Teh kini handal ‘bertinju’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGALAMAN menjadi mangsa buli ketika zaman kanak-kanak mencetuskan semangat kepada Andy untuk memasuki dunia seni mempertahankan diri. – SADDAM YUSOFF

BERKECIMPUNG dalam dunia perniagaan dengan mengusahakan akademi seni mempertahankan diri, Elitez MMA, pelakon Andy Teh mendedahkan bahawa semua itu bertitik tolak daripada sejarah lampau menjadi mangsa buli ketika di bangku sekolah.

Andy atau nama sebenarnya, Andy Teh Kim Huat ‘berterima kasih’ kepada pembuli yang mencetuskan motivasi untuk dirinya mengubah nasib hidup daripada ‘zero’ kepada ‘hero’.

“Seingat saya, waktu itu saya berumur sembilan atau 10 tahun. Ada dua tiga orang budak seusia yang akan sekat jalan saya.

“Mereka akan ambil beg saya, larikan botol air dan macam-macam. Tumpahkan isi dalam beg. Benda-benda begitu yang membuatkan saya risau dan takut nak ke sekolah.

“Saya tak beritahu orang tua yang saya dibuli. Saya pendam sendiri,” ujar Andy, 37.

Mangsa buli ketika kecil

Elitez MMA yang diusahakan Andy baru sahaja membuka cawangan terbaharu yang bertempat di Setia Alam, Selangor.

Tambah pelakon Sangkar The Movie itu lagi, secara tidak langsung, apa yang dialami ketika bangku persekolahan menjadikan dirinya seorang yang lebih kuat dari segi mental dan fizikal ketika ini.

“Saya ubah diri. Dengan itu, dapat belajar taekwondo dan dapat wakil negeri dan kemudian mewakili negara ke beberapa pertandingan luar Malaysia.

“Kalau ikut fikiran tak matang masa kecil, memang niat nak balas dendam tapi bercambah jadi sesuatu yang positif.

“Bukan nak galakkan budaya buli tapi cuma nak beritahu bahawa kalau orang buat tak baik, kita tukarkan jadi sesuatu yang memberi kesan positif dalam hidup,” ungkapnya.

Andy membuka cawangan baharu akademi seni mempertahankan diri, Elitez MMA, di Setia Alam, Selangor.

Samseng jadi kawan, epik

Menginjak dewasa, Andy juga berdepan dengan ‘keganasan’ apabila pernah berurusan dengan beberapa samseng ketika memulakan perniagaan gimnasium beberapa tahun lalu.

Andy berjaya membawa samseng berubah ke jalan yang lurus dan meninggalkan dunia kotor tersebut.

“Saya kenal mereka waktu itu mereka minta duit ‘perlindungan’. Mereka gangster datang ke gimnasium saya.

“Saya tawarkan mereka sama ada berminat mahu berlawan secara profesional.

“Saya cakap dengan mereka: kalau mereka lawan di luar, polis akan kejar dan tangkap. Kalau lawan betul-betul ikut laluan yang betul, satu Malaysia akan tepuk untuk mereka.

“Salah seorang daripada mereka dan berjaya masuk dalam skuad kebangsaan. Daripada gangster jadi atlet kebangsaan,” tutur Andy.

Berbicara tentang perkembangan seni lakonan terbaharu, Andy kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem epik terbitan produksi pecah panggung.

“Kami sudah tiga bulan menjalani penggambaran. Saya berlakon dengan pelakon hebat seperti Nadhir Nasar dan Fattah Amin.

“Bukan berkaitan dengan Mat Kilau tapi saya boleh katakan sebuah epik. Bukan juga arahan Syamsul Yusof. Saya harap boleh dedahkan lebih, namun saya tak boleh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI