fbpx

Jangan terlalu sombong ketika berada di atas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP orang di dunia ini sememangnya mengharapkan bantuan orang lain dalam menghadapi kehidupan seharian dari bangun tidur hinggalah kita pejamkan mata semula pada waktu malam.

Itu hakikat yang kita hadapi sepanjang kehidupan bergelar manusia dan kita sebenarnya tidak boleh hidup seorang diri.

Sebab itulah, Allah menjadikan manusia berpasangan lelaki dan wanita untuk hidup saling bergantungan dan memahami antara satu sama lain demi sebuah kehidupan lebih harmoni.

Justeru, jangan ada sekelumit sifat sombong dan bongkak atau dengan kata lain perasan bagus dalam diri kerana bukan sahaja dibenci oleh Allah, malah manusia pun akan menjauhkan diri apabila tiba waktunya.

Sombong merupakan satu penyakit hati, yang mana penghidapnya merasa bangga dan memandang tinggi diri sendiri. Dalam satu hadis daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahu’anhu, Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Kesombongan adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia.” (Riwayat Muslim).

Seorang rakan penulis baru-baru ini melahirkan rasa terkilan selepas sahabat baiknya selama puluhan tahun tiba-tiba menyepi tanpa khabar berita dan kalau berjumpa pun tidak semesra dahulu, tanya sepatah jawabnya hanya sepatah perkataan.

Katanya, dia tidak tahu apa salahnya sehinggalah ada seorang hamba Allah memberitahunya, sahabatnya itu berubah sikap kerana kini menjawat jawatan tinggi dalam sebuah organisasi.

Penulis hanya menasihatkannya bersabar kerana lambat laun orang yang sombong seperti itu tidak akan ke mana, nanti memerlukan bantuan orang lain juga biarpun pada masa ini mungkin beranggapan tidak memerlukan orang lain kerana mempunyai segala-galanya dalam hidup termasuk wang ringgit, kemasyhuran dan sebagainya.

Mungkin dia lupa kesombongan dan keangkuhan itu adalah sifat iblis yang menderhaka kepada Allah hanya kerana berasakan dirinya lebih mulia daripada Nabi Adam.

Orang seperti ini beranggapan, manusia lain tidak lebih hanya sebagai orang suruhan dan tidak ada sekelumit rasa simpati dengan keperitan dan kesusahan orang lain.

Ini bertentangan dengan ajaran Islam yang mengajar kita supaya sentiasa bersifat lemah lembut serta toleransi sesama insan, tidak mengira agama, bangsa dan fahaman, yang utamanya ialah mencari kedamaian dan keharmonian dalam menjalani kehidupan duniawi ini.

Percayalah mereka lupa bahawa apabila mati pun kita memerlukan bantuan insan lain untuk menguruskan jenazah daripada dimandi, dikafan, disembahyang dan dikuburkan.

Mungkin semasa mereka masih ada kuasa,orang sebenarnya bukan hormat tetapi terpaksa mengikut perintah, namun ketika sudah kehilangannya selepas bersara percayalah tiada seorang pun yang akan mendekat.

Dia nanti akan menjadi kera sumbang yang dipulaukan oleh masyarakat yang tahu tentang sejarah silamnya.

Sifat sombong wujud dalam diri seseorang itu tanpa mengira orang biasa, bangsawan atau pemimpin, yakinlah mereka juga bakal menerima nasib yang sama seperti iblis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN