fbpx

Bayi sindrom Down perlukan RM8,900 beli mesin pernafasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurhanah bersama Nazeem yang mengalami masalah pernafasan dan jantung berlubang sejak lahir.

PETALING JAYA – Seorang bayi lelaki sindrom Down berumur 10 bulan di Muar, Johor, memerlukan mesin bantuan pernafasan, Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) berharga RM8,900 untuk meneruskan hidup.

Nazeem Rizq Firdaus Rohaidil Fitry, yang lahir secara pramatang, mempunyai masalah pernafasan (laryngomalacia) dan jantung berlubang sejak lahir.

Ibunya, Nurhanah Muhamad, 32, berkata, pendapatannya bersama suami hasil menjual pokok hiasan menyukarkan mereka untuk mendapatkan mesin tersebut.

“Masalah kesihatan Nazeem ni dikesan sejak lahir dan mungkin dia kena duduk di hospital selama dua bulan disebabkan masalah itu. Tanpa mesin pernafasan, nafas Nazeem berbunyi seperti orang berdengkur kuat dan sering sukar bernafas.

“Kami sentiasa pantau Nazeem sebab bimbang dia tiba-tiba pucat dan tak boleh bernafas. Bukan tak mahu beli mesin itu cuma dengan pendapatan sekitar RM2,000, kami masih belum mampu,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Menurutnya, selain kos rawatan Nazeem, perbelanjaan harian turut menjadi cabaran buatnya sekeluarga, tambahan Nurhanah turut berdepan dengan masalah kesihatan.

“Saya sendiri pun tak sihat dan sedang dapatkan rawatan psikiatri di hospital disebabkan masalah depresi, keresahan (anxiety) dan serangan panik (panic attack).

“Ada empat lagi anak berumur 3 hingga 14 tahun yang perlukan perhatian dan kami tak akan mengalah demi memastikan kebajikan mereka terbela.

“Selain perbelanjaan harian, sewa rumah, bil-bil, susu, lampin pakai buang dan perbelanjaan sekolah anak-anak menjadi cabaran buat kami suami isteri.

“Kadangkala mak yang tinggal dengan saya bantu beli barang dapur kalau jualan pokok bunga kami tidak menjadi,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 151044245647 atas nama Nurhanah Muhamad.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI