fbpx
Pameran The World of Tim Burton berlangsung di Pavillion, Bukit Jalil, Kuala LUmpur sehingga 30 Julai depan. Malaysia merupakan satu-satunya lokasi di Asia Tenggara bagi pameran jelajah yang telah diadakan di Korea, Jepun, Hong Kong, Brazil, Jerman, Mexico dan lain-lain.

Menerokai fantasi gelap, minda kreatif Tim Burton di KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA filem antarabangsa animasi muzikal Corpse Bride ditayangkan pada tahun 2005, Dalili Zailani, 25, sudah tertarik dengan konsep dan genre berlainan yang diketengahkan karya tersebut.

Walaupun pada waktu itu dia masih di usia kanak-kanak, filem berkenaan telah mencetuskan minatnya terhadap genre fantasi gelap terutama dalam animasi.

Gadis yang juga pelajar di Brickfields Asia College (BAC), Petaling Jaya, Selangor itu memberitahu, sejak menonton filem tersebut dia meminati genre demikian, manakala karya-karya daripada pembikin filem dan animator, Tim Burton paling digemarinya.

“Saya tertarik dengan filem Corpse Bride karya Burton bukan sekadar pada jalan ceritanya, tetapi terhadap sinematografi naskhah itu dan pembangunan watak yang unik serta menarik dalam menganimasikan hantu.

“Walaupun ia bergenre fantasi gelap, pembikinnya (Burton) kreatif dalam mereka watak dan alur cerita bagi menjadikan filem ini sesuai untuk tontonan kanak-kanak,” katanya kepada K2 di Pavillion Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini kala menyaksikan pameran jelajah The World of Tim Burton yang mengetengahkan ‘dunia minda’ pembikin filem tersohor dari Amerika Syarikat itu.

Pameran The World of Tim Burton diadakan di Pavilion, Bukit Jalil, Kuala Lumpur sehingga 30 Julai ini.– SADDAM YUSOFF

Tambah Dalili, selain fantasi gelap, dia turut tertarik dengan genre lain-lain yang menjadi identiti Burton iaitu fantasi goth dan seram. Akui Dalili, minat terhadap karya-karya Burtonlah yang telah membawanya ke pameran jelajah The World of Tim Burton.

Pameran dianjurkan oleh Toybox Projects itu merupakan yang pertama di Malaysia dan satu-satunya lokasi persinggahan produksi pameran di Asia Tenggara.

Menurut Presiden Toybox Projects, Yuri Aizawa, The World of Tim Burton berkonsepkan muzim seni moden yang memfokuskan pada watak dan dunia tersendiri yang hanya boleh datang daripada imaginasi tunggal Burton.

“Pameran ini terdiri daripada kira-kira 540 karya terdiri daripada lukisan akhir, lukisan draf, lakaran asal, arca, boneka dan miniatur watak daripada animasi, drama serta filem beliau.

“Ia turut menampilkan banyak karya dari zaman awal pembabitan Burton dalam animasi hinggalah projek terbaharu karya filemnya termasuk figura Balloon Boy di pintu masuk pameran,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Malaysia merupakan lokasi ke-15 untuk pameran jelajah The World of Tim Burton yang antaranya telah berkunjung ke Korea Selatan, Jepun, Hong Kong, Republik Czech, Jerman, Brazil dan Mexico.

Jelasnya, majoriti bahan pameran diambil daripada arkib peribadi Burton dan mewakili hasil kreatif artis itu dari zaman kanak-kanak hingga kini.

Pengunjung tertarik dengan
karya-karya Burton.

Pameran ini mengetengahkan lukisan, gambar, buku lakaran, karya imej bergerak dan pemasangan arca yang memfokuskan tema dan motif visual daripada pemikiran Burton yang disalurkan kepada watak-watak filemnya.

“Setiap bahagian pameran menunjukkan dari awal bagaimana Burton menggarap ilham kepada pembangunan watak hingga terhasilnya jalan cerita daripada karakter itu,” ujarnya.

Jelasnya lagi, pameran itu menampilkan pelbagai watak filem karya Burton antaranya daripada filem Beetlejuice (1988), Batman (1989), Edward Scissorhands (1990), The Nightmare Before Christmas (1993), Ed Wood (1994), Big

Fish (2003), Corpse Bride (2005), Sweeney Todd (2007) dan terkini siri Wednesday (2022).

Berlangsung hingga 30 Julai depan, pameran ini dibahagi kepada 10 bahagian yang membawa pengunjung menelusuri terowong masa perkembangan minda kreatif Burton. Antara bahagian menarik adalah ruang boneka, arca watak-watak popular filem Burton dan replika ruang kerja.

“Pameran ini secara eksklusif turut menampilkan surat Burton kepada Disney yang dihantar beliau ketika masih kecil, meminta syarikat animasi gergasi itu menerbitkan buku kanak-kanak hasil lukisan serta tulisannya,” katanya.

Pengalaman yang dinyatakan Yuri itu turut dirasai oleh seorang lagi pengunjung, Syaya Emielia, 25, yang juga peminat karya Burton.

Pelajar dari Universiti Bristol, Britain itu berkata, selepas mengamati pameran tersebut dia kini lebih memahami bagaimana minda kreatif Burton berfungsi dalam penghasilan karyanya.

“Burton mempunyai visi yang jelas bagaimana dia mahu menyampaikan mesej. Kita dapat lihat dari peringkat awal (lakaran), beliau sudah miliki visual jelas bagaimana watak tersebut akan dihidupkan dan diketengahkan,”

ujarnya yang sudah menonton semua karya Burton dari filem Edward Scissorhands hingga terkini, siri drama Wednesday.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN