fbpx

EU sekat firma China berdagang dengan Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syarikat-syarikat dari China menjadi sasaran sekatan yang akan dilakukan EU. - AFP

BRUSSELS – Kesatuan Eropah (EU) mengetatkan lagi sekatan ekonomi terhadap Russia dengan menyekat syarikat-syarikat China yang menjalankan urusan perniagaan dengan Moscow, lapor akhbar Financial Times.

Tujuh perniagaan China telah dinamakan dalam pakej sekatan baharu yang akan dibincangkan oleh negara-negara anggota EU, kata laporan tersebut dengan memetik salinan senarai sekatan yang dilihat oleh organisasi media itu.

Senarai itu termasuk dua syarikat dari tanah besar China, 3HC Semiconductors dan King-Pai Technology serta lima lagi dari Hong Kong termasuk Sinno Electronics, Sigma Technology, Asia Pacific Links, Tordan Industry dan Alpha Trading Investments.

Bagi memastikan sekatan itu berkuatkuasa, ia perlu diluluskan sebulat suara oleh semua 27 negara anggota EU.

Syarikat-syarikat perniagaan itu dituduh menjual peralatan yang boleh digunakan oleh Moscow dalam pembuatan senjata, selain beberapa firma telah diletakkan di bawah sekatan oleh Amerika Syarikat (AS).

Suruhanjaya Eropah dilaporkan percaya bahawa lebih sesuai untuk menyasarkan entiti tertentu di negara pihak ketiga yang terlibat dalam membantu Russia mengelak daripada sekatan ekonomi.

Setakat ini, EU telah mengelak daripada menyasarkan China dengan menyatakan bahawa tidak ada bukti Beijing terlibat secara langsung menyediakan senjata-senjata kepada Moscow.

EU setakat ini telah melaksanakan sebanyak 10 pusingan sekatan ekonomi terhadap Russia berhubung operasi ketenteraannya di Ukraine.

Ketua diplomat EU, Josep Borrell mengaku pada bulan lalu bahawa blok itu hampir kehabisan pilihan untuk melakukan tindakan ‘menghukum’ Moscow.

Sejak itu, ahli-ahli parlimen EU dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menyasarkan ‘negara ketiga’ yang mengeksport semula barangan ke Russia, sekali gus membantu Moscow untuk mengelak daripada sekatan perdagangan.

Sebelum ini, China mendesak penyelesaian diplomatik bagi konflik di Ukraine dan mencadangkan pelan damai dengan menggariskan 12 perkara pada Februari lalu.

Namun, EU menolak cadangan Beijing dan menganggapnya sebagai angan-angan dan menegaskan bahawa sebarang rancangan damai mesti berdasarkan kepada tuntutan Kiev. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI