fbpx
Projek ECRL dijangka siap pada penghujung 2026.

Ramai sudah tidak sabar mahu naik tren ECRL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dua tiga hari lalu berlegar satu video pendek dalam grup-grup WhatsApp dalam kalangan rakan-rakan dari negeri Pantai Timur berhubung projek kereta api laju Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal mengubah landskap pengangkutan rel negara.

Menurut video itu, perjalanan melibatkan tren laju itu yang membabitkan 23 stesen dari Gombak di Kuala Lumpur ke Kota Bharu di Kelantan sepanjang lebih kurang 600 kilometer itu hanya akan mengambil masa kurang daripada 4 jam. Menerusi video itu lagi, projek itu akan siap pada Julai tahun depan.

Wow! Nampaknya ramai yang bagaikan sudah tidak sabar dan teruja untuk menggunakan perkhidmatan kereta api laju ECRL setelah menonton video yang diviralkan tersebut. Cuma ramai juga yang tertanya-tanya, bilakah tarikh sebenar projek ECRL itu akan siap dan beroperasi sepenuhnya?

Jika mengikut laporan media sebelum ini, projek itu dijangka siap pada penghujung 2026, tetapi disebabkan video yang viral itu, ramai bagaikan sudah tidak sabar untuk naik tren tersebut.

Apa-apa pun, sama-samalah kita berdoa semoga pembinaan projek itu berjalan lancar dan siap seperti yang dijadualkan. Lagi cepat lagi bagus.

Apa yang menarik ialah topik-topik yang diperbincangkan dalam kalangan rakan dalam grup-grup WhatsApp mengenai projek tersebut.

Paling menarik ialah harapan menggunung yang diletakkan kepada perkhidmatan kereta api laju itu yang dikatalan mampu bergerak selaju 160 kilometer sejam.

Kebetulan video tersebut viral ketika ramai warga Pantai Timur khususnya dari Kelantan dan Terengganu untuk kembali semula ke ibu kota setelah menyambut Aidilfitri di kampung halaman.

Jadi ramailah yang berangan-angan, nanti balik raya tidak akan lagi perlu bersesak-sesak dan berhabis masa berbelas-belas jam dalam perjalanan seperti sekarang.

Bagi mereka, perkhidmatan baharu yang bakal memecah tradisi dalam sistem pengangkutan awam negara itu akan menjadikan perjalanan ulang-alik antara negeri-negeri di Pantai Timur dan ibu negara menjadi lebih pantas serta selesa.

Malah, mereka juga berharap tren kereta api laju itu kelak mampu untuk membawa lebih ramai penumpang khususnya pada musim-musim perayaan sekali gus akan mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan semasa balik raya kelak. “Janganlah pula tiket cepat habis pula,” kata mereka.

Cuma, ramai juga tertanya-tanya, berapa harga tiket tren ECRL itu nanti? Kata mereka, kalau mahal macam kapal terbang, mungkin ramai tidak mampu untuk guna perkhidmatan itu kelak.

Nak letak harga sama seperti tambang bas ekspres, macam tak berbaloi dengan pelaburan berbilion ringgit untuk projek itu. Jadi harap berpada-padalah harganya nanti.

Selain itu, terdapat juga kebimbangan bahawa jualan tiket-tiket untuk perkhidmatan bas ekspres yang selama ini menjadi tunjang pengangkutan ulang-alik utama sebahagian besar warga Pantai Timur mungkin akan terjejas jika tren ECRL beroperasi kelak. Kalau tak kena cara perkhidmatan bas ekspres boleh terkubur.

Apa tidaknya, kalau naik kereta api laju boleh sampai kurang empat jam untuk pejalanan Kuala Lumpur ke Kota Bharu, memang ada logiknya ramai akan beralih kepada ECRL kelak jika kadar tambangnya berpatutan.

Apa-apa pun, projek ECRL ini hanya dijangka siap pada penghujung 2026, jadi masih ada beberapa tahun lagi untuk warga Pantai Timur untuk meredah kesesakan ketika pulang berhari raya.

Harap bersabar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN