fbpx

Michelle letak jawatan CEO ABM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Michelle (kiri) melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM) ekoran kekalahan memalukan skuad wanita negara pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023.

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan susulan kekalahan memalukan skuad wanita negara kepada Filipina dalam acara berpasukan di Sukan SEA Kemboja 2023 semalam.

ABM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Michelle mengambil keputusan tersebut sebagai tanggungjawab akibat keputusan kurang memberangsangkan barisan pemain negara baru-baru ini.

Pada masa sama, badan induk badminton Malaysia itu turut memaklumkan bahawa Pengarah Prestasi Tinggi ABM, Dr. Tim Jones turut dilepaskan daripada tugas tersebut dengan serta-merta.

“ABM mengesahkan, bagi mengambil tanggungjawab atas prestasi kurang memberangsangkan pemain-pemain Malaysia, Michelle Chai sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ABM.

“Selain itu, ABM juga ingin memaklumkan Dr. Timothy John Jones, iaitu Pengarah Prestasi Tinggi ABM turut dilepaskan daripada tugas berkuatkuasa serta-merta,” kata ABM menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, dalam sidang akhbar yang diadakan di sebelah pagi, Michelle sudah memberi bayangan awal beliau sedia melepaskan jawatan tersebut selepas meluahkan kekecewaan terhadap kekalahan skuad badminton wanita negara di Sukan SEA.

Michelle yang memegang jawatan tersebut sejak Oktober tahun lalu turut menjelaskan, sekiranya kehadiran beliau bersama Jones serta Pengarah Kejurulatihan Perseorangan dan Beregu, Wong Choong Hann dan Rexy Mainaky tidak lagi memberikan impak, mereka sedia mengundurkan diri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI