fbpx

Mental Hafidz okey, cuma belum sempat raya dengan anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEHINGGA kini Hafidz Roshdi memaklumkan belum dapat beraya bersama dua anaknya, Humairah dan Umar.

SHAH ALAM – Pelakon Hafidz Roshdi mendedahkan masih belum berpeluang menyambut hari raya dengan dua anaknya iaitu Humairah dan Umar sehingga hari ini.

Walaupun belum bertemu sejak hari raya lalu, Hafidz berkata, mereka hanya berhubung menerusi panggilan video sahaja.

“Belum dan tidak berkesempatan lagi. Raya langsung tak dapat.

“Saya masih dapat menghubungi mereka menerusi panggilan video sahaja. Itu pun dua hari lalu,” katanya kepada Kosmo! Online di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini.

Hafidz bagaimanapun tidak memperincikan tarikh terakhir dia bertemu dengan anaknya.

Berkongsi perkembangan kesihatannya, Hafidz menjelaskan Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak memaklumkan kesihatan mentalnya berada pada tahap yang baik.

Bahkan, dia juga memberitahu berat badannya juga menurun kerana puasa dan mengamalkan diet.

“Saya puasa dan mengamalkan diet, berat badan pun turun dari 70 kilogram (kg) ke 65kg. Alhamdulillah kesihatan semua okey.

“Saya juga sudah pergi mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia sebelum hari raya hari itu dan mereka maklumkan tahap kesihatan mental saya dalam keadaan baik.

“Setakat ini, sesi rawatan hanya dilakukan sekali sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, menurut peguam mewakili Hafidz iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir, isu hak penjagaan anak juga antara yang akan dibangkitkan kepada pihak mahkamah kelak.

Ujarnya, pihaknya juga akan membuat tuntutan hadanah serta sulh pada 12 Jun.

“Itu satu lagi perkara yang akan kami bangkitkan. Dua anaknya berada di luar lokasi bapa menetap jadi dia terpaksa berjalan jauh untuk berjumpa dengan mereka.

“Jadi kami terpaksa hantar notis awal supaya dia boleh pergu tetapi tidak berjaya namun nafkah anak dia tetap beri,” jelasnya.

Hari ini merupakan sebutan pengesahan lafaz cerai antara Hafidz dan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.

Bagaimanapun, sebutan pengesahan lafaz cerai tersebut ditangguh pada 20 Jun depan.

Terdahulu, kemelut rumah tangga pasangan itu menjadi topik bualan hangat apabila Shuhada memfailkan perceraian terhadap Hafidz di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 27 Februari lalu selepas mendapat persetujuan kedua-dua belah keluarga.

Sebelum itu, adik Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, memaklumkan Hafidz menceraikan kakaknya dengan talak satu menerusi panggilan telefon pada 22 Februari lalu.

Rentetan itu, Shuhada dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian muka selepas didakwa ditumbuk oleh Hafidz dalam sebuah kejadian di Sungai Buloh, Selangor.

Akibat daripada kejadian tersebut, Shuhada yang ditumbuk Hafidz sebanyak tiga kali menerima 10 jahitan di bahagian pipi kiri dan bengkak pada mata.

Kemudian, Shuhada berkongsi kepada umum bahawa dia hamil anak ketiga dan usia kandungan sudah memasuki 14 minggu namun semalam dia mengesahkan sudah mengalami keguguran.

Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI