Memang cap ayam ekonomi Malaysia. Sejak tahun lalu sehingga Ramadan, sibuk pembeli dan media memaparkan masalah mengenai harga barang melambung terutama ayam dan telur.
Peruncit merungut harga jualan ayam rendah. Penternak marah harga yang kekal murah ketika harga makanan ayam dan kos lain terus meningkat dan menyebabkan mereka berhadapan dengan kerugian.
Ada kisah mengenai bekalan ayam akan terganggu manakala pengeluaran akan menyusut jika kerajaan tidak bertindak membetulkan keadaan. Di parlimen saiz ayam tempatan dan import dijadikan perbandingan selain harganya dan siapa pengimport.
Kini kita melepasi minggu kedua Syawal, tiba-tiba hampir tidak kedengaran rungutan mengenai ayam atau telur, kehabisan bekalan dan harga rendah.
Jika ada yang perasan, kenaikan harga di Malaysia sering berlaku apabila sesuatu kaum atau masyarakat akan meraikan sesuatu sambutan.
Seperti biasa ketika itu permintaan untuk keperluan asas akan melonjak, sekali gus seperti durian runtuh kepada peniaga dan penternak.
Apa yang lebih aneh, tiba-tiba ada pula isu lambakan sayur yang hanya beberapa minggu lalu berdepan dengan gangguan bekalan dan kekurangan hasil yang mendorong kenaikan mendadak harga sayur-sayuran.
Sekejap sahaja daripada bekalan tidak cukup kepada lambakan. Bukan rakyat negara ini tiba-tiba berhenti makan sayur dan hasil tanaman itu berlebihan. Bukan tiba-tiba kawasan tanaman sayur meningkat secara besar-besaran dan secara tiba-tiba.
Agak aneh ketika bulan Ramadan harga sekilo tembikai mencecah sehingga RM5. Hari ini tembikai sama dijual pada harga RM3.30. Apa telah terjadi dalam tempoh sebulan?
Sememangnya tidak dinafikan ada kenaikan kos dalam operasi. Berniaga apa pun setiap tahun akan berlaku kenaikan kos.
Tetapi apa yang nyata di Malaysia, ada peniaga memanipulasi harga pada ketika tertentu hanya untuk meraih pendapatan berkali-kali ganda.
Contohnya pada Ramadan. Itu adalah masa ketika 65 peratus rakyat negara ini melaksanakan ibadah berpuasa. Pada masa itu ratusan jika tidak ribuan bazar Ramadan timbul seperti cendawan selepas hujan. Maka permintaan akan meningkat, sekali gus membawa nikmat berganda kepada peniaga atau penternak.
Tuntutan harga dinaikkan mendorong peniaga bukan sahaja meraih pendapatan lebih tinggi. Lonjakan permintaan ketika Ramadan dan Aidilfitri membantu mereka ini meraih keuntungan berkali ganda.
Bayangkan 65 peratus daripada 32 juta rakyat Malaysia berhari raya. Ada peniaga pernah memberitahu kalau berniaga di Ramadan dan Aidilfitri serta akhir tahun cukup menampung perbelanjaan perniagaan untuk setahun. Itu kesan hebat perniagaan pada setiap tahun.
Secara mudah, pengguna sentiasa berada pada pihak yang rugi dan kenaikan harga sebahagian besar didorong oleh keinginan peniaga meraih pendapatan yang lebih tinggi ketika musim permintaan tinggi.
Isu-isu lain hanya penyendal kepada alasan bagi menaikkan harga barang. Tidak percaya, lihat ketika menjelang AidilAdha, akhir tahun ini, Ramadan dan Aidilfitri tahun hadapan.














