fbpx

Luahan pembaca: Ambil iktibar kes abai, aniaya Bella

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara ke atas Siti Bainun atas kesalahan mengabai dan menganiaya Bella baru-baru ini.

Saudara Pengarang,

Keselamatan kanak-kanak harus menjadi keutamaan semua pihak. Ini selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendapati pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali bersalah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down, Bella.

Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman penjara 12 tahun ke atas Siti Bainun berkuat kuasa serta-merta.

Semua pihak harus mengambil iktibar berhubung kes penderaan Bella. Isu melibatkan keselamatan kanak-kanak tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak. Semenjak akhir-akhir ini terdapat pelbagai isu melibatkan pengabaian, penderaan dan kecuaian penjagaan ke atas golongan tersebut.

Terdapat juga isu kanak-kanak yang tidak dipantau ibu bapa dan penjaga sehingga mereka terjebak masalah sosial seperti lumba haram dan dadah.

Sebagai orang paling hampir, ibu bapa dan penjaga perlu memastikan anak-anak tidak terdedah dengan ancaman yang boleh menggugat keselamatan.

Tugas menjaga dan melindungi kanak-kanak bukan tanggungjawab moral, malah termaktub dalam undang-undang.

Di Malaysia pula, kita memiliki akta khusus bagi menjaga serta melindungi kanak-kanak iaitu Akta Kanak-kanak 2001.

Akta itu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2002. Akta tersebut memansuhkan tiga perukan undang-undang lain yang sudah lapuk serta tidak sesuai untuk digunakan iaitu Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973.

Tindakan keras boleh diambil terhadap pihak yang gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dalam melindungi golongan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka.

Semua pihak khususnya pihak ibu bapa dan penjaga perlu mengambil serius terhadap perkara ini serta mengambil langkah yang sewajarnya untuk menjaga serta melindungi kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka.

Keselamatan golongan kanak-kanak perlu diberi fokus oleh semua pihak. Jiran tetangga serta masyarakat sekeliling juga harus memainkan peranan mereka dalam melindungi golongan tersebut.

Sikap tidak ambil peduli tidak boleh lagi dibiarkan berlaku dalam negara kita. Tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai atau gagal melindungi keselamatan kanak-kanak.

Dr. Muzaffar Syah Mallow
Nilai, Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI