SAUDARA PENGARANG,
Sejak akhir-akhir ini, banyak dianjurkan festival makanan di negeri dan daerah oleh pelbagai vendor sehingga tular dalam media sosial.
Persoalan yang saya ingin utarakan adalah mengenai harga makanan yang tidak masuk akal di festival makanan tersebut berbanding di kedai-kedai biasa.
Keseronokan berkunjung ke festival makanan tidak lagi sama seperti lima tahun dahulu yang mana kita boleh membeli pelbagai jenis makanan yang jarang kita dapat makan (kerana dijual di daerah lain) pada harga yang murah.
Bayangkan kerana ramai vendor makanan yang popular di media sosial ini boleh saya anggap ‘perosak’ keseronokan festival makanan yang dahulunya boleh dibeli makanan dengan harga berpatutan.
Bayangkan makanan seperti kuetiau goreng sepinggan di festival makanan dijual pada harga RM10 hingga RM12. Tidakkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memantau perkara ini?
Janganlah normalisasikan harga makanan di festival makanan ini seperti restoran mewah T20 apabila harga nasi khaomok boleh dijual dengan harga RM35 sebungkus.
Sangat tidak masuk akal.
Saya amat berharap perkara ini diberi perhatian oleh pihak berkuasa agar tiada vendor mengambil kesempatan meletakkan harga sesuka hati.
PEMINAT MAKANAN
Puteri Gunung Ledang
















