fbpx

Simpanan persaraan rakyat Malaysia membimbangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
IKHWAN IDERIS, WARTAWAN EKSEKUTIF

KADAR simpanan persaraan rakyat Malaysia kini berada pada tahap yang membimbangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengetengahkan seramai 6.7 juta ahli atau 51 peratus daripada keseluruhan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah umur 55 tahun ha­nya mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000.

Isu ini membawa kepada cadangan menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini.

Langkah berkenaan jelas tidak popular dalam kalangan majikan, dengan Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai mengatakan ia kurang sesuai dalam keadaan ekonomi semasa.

Pihaknya menggariskan lima kesan kenaikan caruman KWSP majikan, iaitu peningkatan kos perniagaan; penurunan untung perniagaan dan kesan terhadap gaji pekerja, yang mana majikan mungkin tidak menaikkan gaji atau lebih teruk, menurunkan gaji kakitangan mereka untuk mengurangkan kos.

Ia seterusnya mengakibatkan pekerja mengalami masalah kewangan dan memberi kesan kepada ekonomi keseluruhan.

Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia, Datuk William Ng berpanda­ngan kerajaan perlu mewujudkan lebih banyak industri dan pekerjaan bernilai tinggi serta menggalakkan rakyat menabung.

Beliau turut mengingatkan bahawa PKS terpaksa menanggung kenaikan gaji minimum sebanyak dua kali sejak tahun 2020.

Ketika mungkin ada yang berpandangan langkah tersebut menguntungkan rakyat, perlu diingat simpanan KWSP, wang milik pekerja dan bukan majikan.

Justeru, jika kadar caruman KWSP oleh majikan dinaikkan, untuk berlaku adil, tidak mustahil kadar caruman pekerja juga dinaikkan, sesuatu yang pastinya tidak popular ketika ini.

Apatah lagi dengan pengumuman kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus pada Rabu lalu, yang akan menaik­kan kos pinjaman dan pembiayaan bukan sahaja bagi rakyat, malah perniagaan.

Sementara itu, Prinsipal Ipsos Strategy3 (Malaysia), Ganesan Periakarruppan berkata, tahap simpanan persaraan kini jelas membimbangkan dan kerajaan sebenarnya sudah pun melaksanakan pelbagai program demi menggalakkan rakyat menabung untuk persaraan mereka.

Jelasnya, ini termasuk pilihan caruman sendiri untuk ahli KWSP sehingga RM60,000 setahun, pelepasan cukai untuk caruman skim Simpanan Persaraan Swasta (PRS) dan pelbagai usaha pendidikan membantu me­ningkatkan kesedaran tentang kepentingan simpanan.

“Walau bagaimanapun, program-program ini kebanyakannya memberi manfaat kepada mereka yang sudah berjaya dari pada segi kewangan dan inisiatif baharu perlu dipertimbangkan bagi mereka yang kehilangan simpanan semasa Covid-19.

“Satu langkah yang boleh dipertimbangkan ialah caruman padanan majikan, yang mana kerajaan boleh memberi insentif kepada majikan untuk memberikan caruman sepadan kepada caruman persaraan pekerja.

“Ini boleh menggalakkan pekerja menyimpan lebih banyak untuk persaraan mereka,” katanya.

Ia mungkin sekali langkah di tengah-tengah, yang mana majikan dan pekerja seharusnya perlu bersama-sama memikul tanggungjawab untuk meningkatkan tahap simpanan persaraan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI