fbpx

Bandar Kluang antara 10 bandar paling bahagia di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Akmal (kanan) melawat pameran Kluang Bandar Bahagia di Kompleks Pekan Rabu di Kluang, Johor, hari ini.

KLUANG – Pemilihan Bandar Kluang sebagai Bandar Paling Bahagia daripada 10 bandar di Malaysia bukan hanya meliputi kehidupan penduduknya namun merangkumi semua aspek termasuk pembangunan yang sedang dilaksanakan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perancangan tersusun oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) serta wakil rakyat di bandar ini menjadi salah satu aspek menjadikan Kluang terpilih daripada 117 PBT yang mengambil bahagian.

Katanya, turut menjadi aspek penting menyumbang kepada kebahagiaan penghuni di bandar ini adalah dari audit ekonomi, budaya, pendidikan serta aktiviti komunitinya.

“Pengukuran Indeks Kebahagiaan di Malaysia sebenarnya dijalankan melalui Program Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia yang dikenali sebagai MURNInets dan merupakan satu sistem di bawah seliaan PLANMalaysia bagi mengukur kemampanan kawasan PBT di Malaysia.

“Indeks Kebahagiaan merupakan pengukuran umum terhadap tahap kesejahteraan penduduk merangkumi aspek kesejahteraan mental, fizikal dan kerohanian (spiritual),” katanya selepas merasmikan Program Kluang Bandar Bahagia Masyarakat Malaysia MADANI @ Dewan Pekan Rabu, Kompleks Pekan Rabu, di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, kayu ukur lain yang digunakan juga untuk menghasilkan indeks ini adalah komuniti yang berdaya hidup, kepelbagaian budaya, kesihatan, pendidikan, kepelbagaian ekologi dan kecekapan urus tadbir.

Ujarnya, dalam menambahbaik kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat, antara misi utama KPKT ialah untuk PBT menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat.

“Ini termasuklah beberapa perkara yang sering digariskan iaitu bagi memastikan, jalan raya rata serta tidak berlubang, pemasangan lampu yang terang, Longkang yang bersih selain tidak tersumbat dan tandas awam yang bersih, menawan dan wangi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI