fbpx

Skuad wanita kebangsaan tewas ‘bermaruah’ – Suraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SURAYA (barisan belakang, tiga dari kiri) memuji persembahan skuad wanita kebangsaan meskipun keputusan tidak memihak negara pada Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh kelmarin.

“Pasukan Vietnam pun pasti sangat terkejut dengan prestasi mendadak skuad wanita negara.”

Demikian pandangan pe­ngurus skuad wanita kebangsaan, Datuk Suraya Yaacob selepas menyaksikan anak-anak buah­nya tewas ‘bermaruah’ pada aksi pertama Kumpulan B apabila ditundukkan Vietnam 0-3 kelmarin.

Kata Suraya, apa yang dipamerkan oleh barisan pemain cukup positif walaupun keputusan tidak memihak kepada pa­sukan memandangkan Vietnam pasukan yang lebih berkualiti di atas padang.

“Selepas 35 hari menjalani sesi latihan, kita telah harungi perlawanan pertama dan saya lihat apa yang dipamerkan oleh pasukan agak memberangsangkan. Di atas padang, saya akui ini bukanlah perlawanan yang mereka boleh tunjukkan prestasi sebenar.

“Situasi ini disebabkan kita menentang pasukan yang lebih baik. Namun, saya percaya Vietnam pun terkejut dengan prestasi negara kerana mereka langsung tidak boleh menambah jaringan pada separuh masa kedua,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Pada aksi di Stadium Army itu, skuad Malayan Tigress terpaksa berputih mata apabila Vietnam meledak tiga gol awal hasil jaringan Hai Yen Pham, Thi Bich Thuy Nguyen dan Nhu Huynh.

Mengulas lanjut, Suraya mengakui aksi kedua Kumpulan B menentang Filipina esok di­jangka lebih sukar memandang­kan pasukan lawan membawa ramai pemain berdarah warisan yang memiliki fizikal lebih sasa berbanding tonggak negara.

“Saya anggap kita tewas kepada Vietnam dengan keputusan bermaruah dan harapan yang sama diletakkan ketika bertemu Filipina nanti.

“Meskipun di atas kertas, mereka lebih hebat kerana membawa ramai pemain naturalisasi berdarah kacukan pada temasya kali ini,” katanya.

Sebagai rekod, Vietnam dan Filipina telah pun melayakkan diri ke pentas Piala Dunia 2023 yang akan berlangsung di Australia serta New Zealand bermula Julai depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI