PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menyiapkan kertas kerja bagi gantian aset dan jentera mereka untuk pertimbangan dan kelulusan oleh kerajaan.
Ketua Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, pihaknya akui pasukan keselamatan itu kini mengendalikan aset yang sudah lama dan berusia.
Beliau berkata, bukan sahaja aset marin sebaliknya ada aset dalam PDRM yang sudah berusia 30 tahun termasuk kapal dan pesawat.
“Saya difahamkan aset Pasukan Gerakan Udara (PGU) sendiri iaitu pesawat jenis Pilatus dan Caravan ada yang berusia 25 tahun dan ke atas selain teknologinya yang sudah ketinggalan.
“Kita sudah siapkan kertas kerja untuk kemukakan kepada kerajaaan bagi ganti baharu aset lama dan usang itu termasuk bot, pesawat dan juga kenderaan lain,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Kejohanan Tembak RMP Open Championship Level III di Kelab Menembak Sasaran Shapadu, di sini hari ini.
Katanya, baru-baru ini, pihaknya menerima perolehan 170 buah kenderaan pacuan empat roda bagi kegunaan pasukan.
Hazani berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan dan percaya perolehan serta gantian aset lain akan dilakukan secara berperingkat, namun memahami kekangan ekonomi dihadapi kerajaan ketika ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














