fbpx

Berendam di air terjun kerana cuaca panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian pengunjung yang mandi-manda di Lubuk Kain, Hulu Dungun semalam.

DUNGUN – Beberapa kawasan perkelahan di sekitar Hulu Du­ngun di sini menjadi tumpuan ramai ekoran cuaca panas yang melanda pada masa ini.

Tinjauan di beberapa lokasi termasuk Sungai Kelemin, Kampung Minda serta kawasan Air Terjun Lubuk Kain, Kampung Shukor di sini, mendapati kawasan itu menerima kunjungan pengunjung berlipat kali ganda.

Pengerusi Koperasi Shukor Membangun, Zakaria Mahusin, berkata, kawasan perkelahan Lubuk Kain menerima lebih 2,000 pengunjung setiap hari sejak hari raya pertama berbanding cuma 200 pengunjung pada hari biasa.

“Musim panas ini, memang ramai orang datang mandi dan berkelah di kawasan ini berban­ding sebelum ini.

“Sekarang ini, hari bekerja pun ramai pengunjung datang. Sebahagian berkunjung selepas waktu bekerja bersama keluarga masing-masing,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Zakaria berkata, pihaknya yang menguruskan kawasan perkelahan itu sentiasa memastikan kawasan itu berada dalam kea­daan bersih dan bersedia untuk menerima kunjungan ramai.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Azlinda Suhaimi, 46, berkata, dia bersama suami membawa tiga anak mereka yang belum bersekolah mengunjungi kawasan perkelahan berkenaan untuk menyejukkan badan.

“Kawasan air terjun ini sesuai untuk meredakan bahang panas kerana lebih redup sebab dikeli­lingi pokok-pokok. Memang agak berbaloi kerana suasananya nyaman dan sejuk. Anak-anak saya yang masih kecil jadi kurang ­meragam,” katanya.

Pengunjung lain, Shahrul ­Zaidi Fauzi, 35, berkata, dia se­ring membawa dua anaknya mandi di Sungai Kelemin untuk ­menyejukkan badan sewaktu musim panas ini.

“Waktu siang rumah kami memang panas. Mahu beli pendingin hawa masih belum mampu. Jadi, saya bawa anak-anak mandi air sungai untuk sejukkan badan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI