RUSSIA dan Ukraine masih dalam konflik peperangan, namun beribu-ribu rakyat dari kedua-dua negara itu memilih untuk tinggal bersama di Bali, Indonesia.
Ramai yang menjadikan pulau itu sebagai tempat tinggal setelah mereka meninggalkan negara masing-masing sebaik peperangan tercetus.
Konflik yang dilihat tidak berpenghujung itu telah menjadikan Bali sebagai tempat perlindungan sementara oleh rakyat dan ahli perniagaan di Ukraine serta Russia.
Rata-rata mereka mahu mengelakkan diri daripada kancah peperangan yang tercetus sejak tahun lalu itu.
Menurut data daripada pemerintah Indonesia, lebih 7,000 warga Ukraine dan 58,000 warga Russia tiba di Bali pada tahun lalu.
Pada Januari lalu sahaja terdapat lebih 2,500 ketibaan dari Ukraine dan 22,500 ketibaan dari Russia.
Ketua Agensi Pelancongan Bali, Tjokorda Bagus Pemayun berkata, sejak Bali membuka pintu sempadannya tanpa kuarantin sejak Mac tahun lalu, trend kehadiran pelancong di pulau itu sentiasa meningkat.
“Kenapa Bali? Mungkin keadaan peperangan di negara mereka telah menyebabkan jumlah kehadiran pelancong meningkat dengan ketara. Sesungguhnya Bali adalah tempat yang aman.
“Keadaan aman ini membuatkan mereka ingin tinggal di Bali berbanding di negara masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Komuniti Ukraine di Bali yang mahu dikenali sebagai Dmytro berkata, ketika peperangan bermula, dia sedang bercuti di Bali, sebelum memilih untuk tinggal di situ.
Menurutnya, ketika ini, dia sedang membina sebuah komuniti rakyat Ukraine di Bali.
“Sejak lapan bulan lepas, saya hanya memberi tumpuan kepada perkara ini.
“Matlamat kami masih sama iaitu membantu rakyat Ukraine di sini serta mencari jalan untuk membina hubungan kukuh dengan penduduk tempatan, kerajaan dan pihak polis,” katanya.
Dmytro berkata, Bali adalah tempat yang baik, cantik dan selamat untuk orang Ukraine.
Biarpun terdapat sekumpulan besar orang Russia di Bali, tetapi tidak ada pasukan tentera Russia di situ.
Menariknya, sebaik perang bermula, sebuah agensi pelancongan Ukraine memutuskan untuk memindahkan pangkalannya ke Bali serta mengupah beberapa orang bekerja di sana.
Sementara itu, beberapa warga Russia turut menawarkan sokongan kepada warga negara mereka yang ingin berpindah ke Indonesia.
Anna Pomarina yang memiliki syarikat perundingan turut membantu warga Russia berniaga di negara republik itu.

Dia juga mempunyai sebuah hotel di Bali yang menjadi lokasinya menetap pada permulaan pandemik Covid-19.
“Saya membantu berpuluh-puluh ahli perniagaan yang ingin memulakan operasi di Indonesia.
“Kebanyakan mereka mahu mendapatkan wang untuk menyara keluarga atau mahu mengembangkan perniagaan sedia ada,” katanya.
Menariknya, rakyat Russia dan Ukraine yang tinggal bersama di Bali tidak akan bercakap tentang perang antara satu sama lain.
Sementara itu, Sergei Ovseikin merupakan salah seorang warga Russia yang telah mengembara ke Bali berkata, seperti kebanyakan orang lain yang terpaksa meninggalkan negara asal mereka, dia juga datang ke Bali sebagai pelancong.
“Russia kekal dalam situasi politik yang sukar. Saya menentang peperangan tidak kira di mana ia berlaku,” jelasnya.
Tambahnya, ramai yang tidak bersetuju dengan peperangan tersebut telah datang ke Bali.
Ujar Ovseikin, mereka bergaul baik antara satu sama lain dan percaya bahawa orang biasa tidak memulakan perang tersebut.
Sewaktu awal-awal ketibaan warga Russia dan Ukraine, penduduk tempatan ‘membentangkan tikar’ menyambut kedatangan mereka yang melarikan diri daripada kancah peperangan.
Bagaimanapun, kedatangan mereka di pulau peranginan itu telah menimbulkan isu dalam kalangan penduduk tempatan ketika ini.
Ia disebabkan seorang pempengaruh media sosial Russia telah memanjat pokok suci berusia 700 tahun dalam keadaan telanjang.
Pada masa sama, seorang artis jalanan Russia melukis mural anti peperangan di sebuah rumah persendirian.
Tidak cukup dengan itu, seorang remaja Russia telah ditangkap kerana merosakkan sebuah sekolah.

Malah, sering berlaku kemalangan motosikal melibatkan warga Russia dan Ukraine sehingga menimbulkan persoalan tentang keselamatan lalu lintas di pulau tersebut.
Disebabkan itu, Gabenor Bali, Wayan Koster menerima pelbagai aduan daripada masyarakat tempatan.
Rentetan itu, Koster meminta pemerintah Indonesia memperkenalkan program visa semasa ketibaan kepada warga Russia dan Ukraine.
“Ramai antara mereka yang berpusu-pusu datang ke Bali untuk mengelak peperangan. Namun, mereka melanggar beberapa undang-undang tempatan.
“Mereka juga mencari pekerjaan dengan menggunakan visa pelancong,” katanya.
Tinjauan menunjukkan rata-rata masyarakat Bali telah hilang sabar dengan kelakuan buruk pelancong dari kedua-dua negara tersebut.
Mereka kerap mengadu mengenai warga asing yang menunggang motosikal dalam keadaan bogel dan separuh bogel.
Ia secara tidak langsung telah mencemarkan beberapa tempat yang dianggap suci di pulau didominasi oleh masyarakat beragama Hindu itu.
“Mereka seperti hidup di negara sendiri dan tidak peduli dengan masyarakat sekeliling. Bagi mereka, normal menunggang motosikal dalam keadaan separuh bogel dan berbikini.
“Mereka tidak sedar ia tidak baik kepada masyarakat di sini,” kata penduduk tempatan, Wayan Pardika.














