fbpx

Pandangan individu tidak wakili parti – Mat Sabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad

PETALING JAYA – Semua pihak yang menyuarakan pandangan berhubung permohonan pengampunan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sayang kepada Kerajaan Perpaduan.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Kerajaan Perpaduan perlu memberi fokus kepada khidmat kepada rakyat sebagaimana yang diamanahkan.

“Setiap individu mempunyai kebebasan untuk memberi pandangan sebagaimana hak yang diberikan dalam perlembagaan.

“Namun dalam konteks organisasi, pandangan individu tidak mewakili organisasi atau parti melainkan ianya adalah keputusan rasmi parti tersebut yang diputuskan dalam mesyuarat parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi hari ini membidas Amanah kerana didakwa menghina budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Ia berikutan tindakan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd. Samad beberapa hari lalu merayu kepada Yang di-Pertuan Agong supaya menolak permohonan pengampunan Najib.

Khalid berpandangan hanya dengan cara itu nama baik negara dan komitmen memerangi rasuah serta penyalahgunaan kuasa dapat dijaga.

Mohd. Puad bagaimanapun menyifatkan Amanah sebagai sebuah parti ‘kawan makan kawan’ yang tidak memberi jaminan Kerajaan Perpaduan boleh kekal.

Terdahulu, Mohamad berkata, Amanah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau DAP yang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH) tertakluk kepada keputusan PH yang perlu diutamakan jika bercanggah dengan keputusan parti.

“Begitu juga dalam konteks Kerajaan Perpaduan, keputusan di peringkat gabungan kerajaan Perpaduan mengatasi keputusan parti-parti atau pakatan politik masing-masing dan ia perlu diutamakan,” katanya.

Jelas beliau, pemimpin Amanah berhak menyuarakan pandangan, tetapi mereka terikat dengan keputusan parti dan ia adalah *normal practice” dalam mana-mana organisasi.

“Dalam kes yang melibatkan bekas Perdana Menteri ke-6, kuasa tertinggi yang mempunyai hak untuk membuat keputusan adalah Yang di-Pertuan Agong. Maka semua pihak perlu menghormati sebarang keputusan Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI