fbpx

Tinggal kerjaya doktor demi bina perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. NURUL A’IN merupakan pengasas produk penjagaan kulit jenama Alluskin.

KALAU tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Itulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan Dr. Nurul A’in Sa’ari, 30, apabila usaha kerasnya membangunkan empayar perniagaan sendiri membuahkan hasil.

Malah, dia yang juga pengasas produk kecantikan Alluskin sanggup meninggalkan kerjaya sebagai doktor perubatan untuk mengusahakan perniagaan sendiri.

“Sejak belajar di universiti dalam bidang perubatan, saya meminati bidang kecantikan terutamanya terhadap penjagaan kulit.

“Setelah menjadi doktor, saya ingin teruskan dalam bidang dermatologi. Namun, disebabkan pada waktu itu saya hanyalah doktor kontrak, jadi ada kekangan dari sudut tersebut,” katanya kepada Aura baru-baru ini.

Setelah hampir tiga tahun menjawat jawatan sebagai doktor kontrak di sebuah hospital kerajaan, dia akhirnya tekad dengan keputusannya untuk berhenti pada tahun 2019.

Dia menggunakan ilmu perubatan sebagai doktor untuk menghasilkan produk penjagaan kulit sendiri.

Menariknya, sewaktu berkhidmat sebagai doktor kontrak selama tiga tahun, dia telah melakukan kajian bagi menghasilkan produk penjagaan kulit.

“Pada ketika itu, saya melakukan kajian melalui ilmu yang ada serta beberapa rujukan untuk memilih bahan-bahan diperlukan bagi menghasilkan produk penjagaan kulit.

“Kemudian, saya mendapatkan khidmat nasihat daripada jurukimia tentang bahan-bahan yang ingin digunakan.

“Mereka beritahu saya sama ada bahan kimia berkenaan boleh digunakan atau tidak untuk membangunkan produk penjagaan kulit,” ujarnya.

Dr. Nurul A’in berkata, dia kini menghasilkan enam produk penjagaan kulit meliputi serum, toner, moisturizer dan lain-lain.

Sebagai seorang yang memiliki latar belakang sebagai seorang doktor, Dr. Nurul A’in amat menekankan keselamatan produk yang dihasilkannya.

Malah, kesemua produk yang dihasilkannya itu bebas daripada bahan-bahan terlarang serta berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam pada itu, Dr. Nurul A’in mengakui, dia berhadapan dengan cabaran tersendiri apabila terlibat dalam bidang perniagaan.

Menurutnya, cabaran besar yang dihadapinya adalah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

“Pada ketika itu, jualan amat memberangsangkan. Namun, kami berhadapan dengan masalah untuk menghasilkan produk di kilang.

“Hal ini kerana, bahan mentah dari luar negara tersekat dan tidak dapat masuk ke Malaysia.

“Apa yang boleh dilakukan ketika itu, kami hanya teruskan pemasaran melalui media sosial agar pengguna tidak terlupa dengan produk kami,” katanya.

Setelah PKP berakhir dan keadaan kembali pulih, jualan produknya kembali melonjak.

Berbicara tentang konsep jualan produknya, Dr. Nurul A’in berkata, pihaknya melaksanakan jualan secara online.

Tambahnya, produk tersebut juga boleh didapati di lebih 20 farmasi terpilih.

“Saya tidak menggunakan sistem ejen seperti kebanyakan usahawan lain kerana inginkan kebebasan dalam menjual produk.

“Oleh itu, saya fokus kepada jualan secara online serta di farmasi,” bicaranya.

Dalam pada itu, Dr. Nurul A’in menjelaskan, keluarga pada mulanya agak kecewa dan membantah apabila dia memilih untuk berhenti menjadi doktor dan mengusahakan perniagaan sendiri.

“Memandangkan kami hanya dua beradik, ibu bapa amat berharap salah seorang anak mereka menjadi doktor.

“Tambahan pula, saya telah menghabiskan masa selama lima tahun belajar dan mereka ingat saya akan teruskan kerjaya sebagai doktor.

“Alhamdulillah, kini keluarga boleh terima dengan keputusan yang dibuat setelah melihat kesungguhan saya dalam bidang perniagaan,” katanya.

Dia memaklumkan, kehidupannya kini juga lebih gembira berbanding ketika menjawat jawatan sebagai doktor.

“Kini, saya mempunyai masa sendiri untuk melakukan apa yang disukai,” katanya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI