fbpx

Duet ‘live’ Nasib Kita, kenangan terakhir – Joe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JOE BRANKO anggap kerjasama dengan Mael dalam dalam konsert Barbarik - Pentas Keras pada Disember lalu sebagai momen cukup bermakna.

PETALING JAYA – Gitaris, Joe Branko menyifatkan paduan Mael XPDC dan Mus May dalam Konsert Barbarik – Pentas Keras tahun lalu membawakan Nasib Kita secara ‘live’ adalah yang pertama kali direalisasikan sejak lagu tersebut dirakamkan lebih 20 tahun lalu.

Katanya, pelawaan kepada kedua-dua vokalis hebat untuk tampil buat julung kali menyampaikan dendangan daripada album Best of Wings itu nyata menjadi kenangan bermakna.

“Memang saya dan Mus teruja apabila Mael tanpa berfikir panjang terus menerima undangan untuk berduet mendendangkan Nasib Kita yang dirakam lebih dua dekad lalu di Konsert Barbarik – Pentas Keras.

“Secara tidak langsung, penampilan di Zepp Kuala Lumpur pada Disember 2022 menjadi sejarah buat penggemar Allahyarham dan Mus yang menjadi saksi Nasib Kita berkumandang secara langsung.

“Sepanjang latihan serta malam konsert, kami nampak kesungguhannya apabila memberikan komitmen padu hingga meninggalkan impak kepada khalayak,” katanya kepada Kosmo! Online.

Bagi Joe, pemergian Mael atau nama penuhnya Syed Ismail Syed Ibrahim, 55, yang menghembuskan nafas terakhir akibat asma kronik sebagai kehilangan besar kepada industri muzik tempatan.

Menurutnya, walaupun berdepan penyakit semput, arwah tidak menjadikan kekurangan itu sebagai alasan, sebaliknya berjuang untuk terus beraksi.

“Kami dalam aliran yang sama, jadi sedikit sebanyak saya tahu dia mempunyai masalah asma tetapi sepanjang bekerja dengannya untuk konsert tersebut, Mael bersemangat.

“Perkara ini yang wajar dijadikan contoh sebab bukan senang beraksi dalam kondisi kesihatan tidak menentu. Tetapi saya yakin dia melakukan persediaan rapi dari segi mental dan fizikal sebelum menghadapi konsert besar,” katanya.

Allahyarham Mael menghembuskan nafas terakhir akibat masalah asma kronik di Hospital Muar, Johor sekitar pukul 9 malam.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, Muar pada pukul 10.55 pagi tadi.

Lebih 200 orang yang terdiri daripada keluarga, sahabat dan rakan seperjuangan dalam industri hadir memberikan penghormatan terakhir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI