fbpx

Ab. Rauf malas layan isu skandal seks rasuah Exco

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AB. RAUF ketika ditemui pemberita di Banda Hilir, Melaka hari ini. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh tidak akan mengarahkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kanannya, Datuk Rais Yasin untuk membuat laporan polis berhubung dakwaan terlibat dalam skandal rasuah seks yang tular sejak Selasa lalu.

Beliau berkata, perkara itu hanya dilihat sebagai permainan politik oleh mereka yang masih tidak lagi dapat menerima perubahan politik baharu di bawah kepimpinannya.

“Tiada siapa yang dapat mengesahkan perkara itu benar atau tidak, kalau ia setakat diambil daripada medium media sosial untuk menjatuhkan imej mana-mana tokoh atau individu kepimpinan.

“Ini adalah agenda mereka yang masih tak move on dalam politik Melaka yang telah beralih ke arah politik baharu, jadi saya tak nak fikirkan benda sebab saya perlu bekerja mempromosikan dan memajukan Melaka,” katanya ketika ditemui pemberita di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai imej kerajaan negeri, beliau menegaskan perkara itu tidak sepatutnya dikaitkan kerana ia merupakan provokasi yang dicetuskan oleh musuh politik.

“Sebab apa nak tercalar? Siapa yang bersalah dan betul ke dia (Rais) buat?. Tidak boleh begitu, anda (pemberita) dah ambil provokasi daripada musuh politik, kenalah jadi adil kepada pihak di sini, tiada sebab imej kerajaan negeri ingin dikaitkan.

“Terserah kepada Rais (buat laporan polis), saya tak campur, terlalu awal pun kalau nak buat provokasi (sokongan anak muda merosot terhadap UMNO) tentang isu ini kerana kalau benda itu tohmahan macam mana? Saya dah kena dulu sewaktu jadi Speaker Dewan Undangan Negeri, agenda sama pelakon sama,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad telah membuat satu sidang akhbar di sini, malam tadi bagi mendesak Ab. Rauf mengarahkan Rais untuk membuat laporan polis bagi membersihkan namanya.

Mohamad Ali berkata, kontroversi yang sedang melanda Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri itu dilihat bukan sahaja mendatangkan impak negatif buat UMNO tetapi memberi kesan terhadap kepercayaan rakyat berhubung kredibiliti kerajaan negeri baharu pimpinan Ab. Rauf.

Rais yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka bagaimanapun semalam telah menafikan dirinya terlibat dengan klip video dan tangkap layar WhatsApp berkaitan skandal rasuah seks melibatkan seorang wanita yang tular sejak Selasa lalu.

Menurutnya, taktik kotor untuk mengganggu gugat karier politiknya itu telah mula disebarkan sejak tempoh Pemilihan UMNO 2023 lalu, namun sekali lagi tular pada baru-baru ini dengan tangkap layar perbualan WhatsApp yang diada-adakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI