fbpx

Sanusi iringi Sultan Kedah pada Rumah Terbuka Malaysia Madani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada Rumah Terbuka Aidilfitri MB Kedah di Alor Setar, Kedah hari ini.

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor akan menghadiri Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri bagi mengiringi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di sebuah hotel di sini, Sabtu ini.

Walaupun belum menerima sebarang jemputan rasmi atas kapasiti sebagai Menteri Besar, beliau memberitahu akan tetap menghadiri majlis itu bagi mengiringi Sultan Kedah sekiranya baginda berkenan menghadirinya.

“Saya dimaklumkan mereka menyerahkan jemputan rasmi kepada Sultan Kedah, justeru sekiranya Tuanku Sultan berkenan menerima jemputan itu, maka saya akan ke sana juga.

“Tetapi jika Tuanku tidak hadir, saya akan pertimbangkan semula (sama ada akan hadir). Saya bercakap daripada sudut protokol,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, daripada segi protokol, pihak penganjur program berkenaan wajar menghantar jemputan rasmi kepada beliau untuk ke majlis tersebut.

“Ini bukan tentang Sanusi tetapi Menteri Besar. Saya tidak berkecil hati langsung jika tidak dijemput secara rasmi dan jika saya dijemput secara rasmi, saya perlu ke sana memandangkan Perdana Menteri akan berada di sana tetapi jika tidak dijemput, saya mempunyai pilihan sama ada untuk hadir atau tidak, itu terpulang kepada saya.

“Jika mereka ingin membuat pengumuman tidak rasmi, saya tidak ada masalah dengannya. Saya boleh berkawan dengan sesiapa sahaja, mereka mungkin menjemput saya melalui aplikasi WhatsApp, saya tidak kisah langsung. Kita sudah masuk bulan Syawal, jadi tidak elok bergaduh dengan sesiapa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI