fbpx

Syawal indah Adira, salam tangan madu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADIRA meraikan Syawal tahun ini dengan sejuta kesyukuran.

TUJUH tahun penyanyi Adira Suhaimi menanti, akhirnya hubungan baik dengan madu, Datin Seri Sharifah Norshafila Hassim atau Datin Red terjalin seperti yang kerap diluah dalam doa usai solat akhirnya jernih bersulam harmoni.

Pastinya, Syawal kali ini menganugerahkan semangat berbeza apabila dapat merasai suasana hari raya dengan keluarga besar mereka, sekali gus berpeluang bersalaman sesama mereka.

“Pagi 1 Syawal tahun ini giliran saya berhari raya dengan suami, selepas itu dia pulang ke rumah Datin Red pula kerana kediaman kami berdua tak jauh pun, sekitar satu kilometer.

“Tetapi untuk Aidilfitri ini saya mahu kami semua dapat berkumpul beramai-ramai termasuk anak-anak tiri untuk sama-sama merasai kemeriahan pagi Syawal.

“Sudah pasti secara peribadi perhimpunan besar keluarga kami nanti meninggalkan kenangan terindah bagi saya kerana buat pertama kali juga saya dapat bersalam dan cium tangan bermaafan dengan wanita yang saya hormati ini.

“Tiada hadiah lebih bermakna berbanding mengeratkan silaturahim antara kami yang sememangnya sering saya panjatkan dalam doa sejak dulu,” luahnya yang bergelar isteri kedua kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red.

Hubungan baik dengan Datin Red mula terjalin selepas Adira menziarahi wanita itu yang kehilangan ibu tercinta pada 27 Mei tahun lalu.

SUAMI Adira, Datuk Red biasanya menggunakan sistem giliran dalam menyambut Aidilfitri supaya setiap isteri menerima layanan yang adil.

Katanya, ketika itu dia nekad memandu ke kampung isteri pertama suaminya untuk berada di sisi wanita itu tersebut tanpa berfikir panjang.

Sejak itu mereka kerap dilihat menghabiskan masa termasuk ketika hadir berpakaian sedondon dan berpimpin tangan bersama Datin Red ketika hadir ke sebuah acara fesyen, bulan lalu.

Bercerita tentang hari lebaran, seperti tahun terdahulu, hari raya pastinya tentang anak-anak. Melihat empat cahaya mata yang sedang membesar sidah cukup membuatkan hatinya girang dan ceria sepanjang masa terutama raya.

Melihat kegembiraan si kecil, Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4, dan Ayub, tujuh bulan menggayakan baju baharu sudah cukup mengujakan rayanya.

Berkongsi pula memori zaman kecil, penyanyi Ombak Rindu asal dari Ranau, Sabah itu menyatakan hidangan wajib atas meja makan tentu sahaja pulut kuning dihidangkan bersama rendang.

BERTAHUN-tahun menadah doa demi kerukunan hidup berpoligami, hubungan Adira dan Datin Red kini disuburi kasih sayang dan hormat-menghormati.

Juadah tradisi yang asalnya menjadi kemestian ibu tercinta tiap kali Syawal sentiasa mengingatkan Adira kepada keluarga di kampung halaman.

“Tahun ini saya tak pulang ke kampung, tetapi macam rutin terdahulu selain ketupat, ayam merah, sayur lodeh dan kuah kacang tentu saja pulut kuning dengan rendang wajib ada.

“Terubat rindu buat sanak-saudara apabila tengok juadah wajib raya ada depan mata,” katanya yang menyediakan sendiri hidangan raya untuk suami serta anak-anak.

Dalam keterujaan meraikan hari mulia, jauh di sudut hati terdetik perasaan sayu apabila tidak dapat merasai suasana Aidilfitri bersama Allahyarham bapanya, Suhaimi Rajiman yang meninggal dunia pada Mac 2019.

Biarpun hubungan mereka tidak rapat selepas ibu bapanya bercerai ketika dia masih dalam kandungan, ikatan antara bapa dan anak mendorongnya mencari si ayah ketika sudah dewasa.

“Sukar untuk diterjemahkan rasa kehilangan. Namun saya bersyukur punya ibu yang sentiasa memberikan sokongan serta adik beradik tempat berpaut,” kata anak bongsu daripada lapan bersaudara itu.

KEHILANGAN bapa tercinta ketika musim Syawal antara memori yang tidak boleh dilupakan Adira.
Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI