fbpx

Kanak-kanak perempuan mati lemas dalam kolam renang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

IPOH – Aktiviti ziarah raya sebuah keluarga bertukar pilu apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun sembilan bulan ditemui lemas dalam kolam renang di rumah datuknya di Tambun di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, maklumat kejadian itu diterima pihaknya pada pukul 10.30 malam daripada pihak hospital berkaitan kematian akibat lemas.

Katanya, siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan sebuah kolam renang kanak-kanak yang terletak dalam sebuah rumah milik datuk mangsa.

“Mangsa bersama kedua ibu bapanya datang ke rumah itu kerana menziarahi ahli keluarga sempena hari raya Aidilfitri. Bagaimanapun, mangsa dijumpai bapanya pada pukul 8.45 malam dalam keadaan terlentang dan terapung di dalam kolam tersebut.

“Mangsa yang tidak sedarkan diri segera dibawa naik dan dihantar ke hospital untuk rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak itu telah dilakukan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini dan punca kematian akibat mati lemas.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan berpatutan.

“Orang ramai khususnya ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar tidak membiarkan anak-anak di bawah jagaan masing-masing tanpa pengawasan bagi mengelakkan tragedi tidak diingini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI